Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Semangat Haji

Ibadah haji yang kita lakukan dengan susah payah dan penuh cabaran itu bukanlah suatu yang terjadi secara tidak disengajakan. Rasulullah s.a.w. sengaja mengaturkan supaya ibadah haji itu mengandungi aktiviti-aktiviti yang praktikal. Ada tujuan atau hikmah di sebaliknya.
Selain daripada pengajaran-pengajaran yang disebut dalam surah al-Hajj dan ayat-ayat yang lain itu, ada lagi pengajaran yang hendak diterapkan, iaitu melalui aktiviti-aktiviti yang diaturkan itu. Maka diaturkan siri aktiviti seperti yang ada pada hari ini. Aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan itu kita laksanakan satu demi satu. Koleksi aktiviti inilah ibadah haji kita.
Agama (Islam) bukan sekadar ajaran falsafah dan teori sahaja, tanpa praktikal. Walaupun ajaran Islam memang dimulakan dengan menanamkan keyakinan kepada setiap pengikutnya, tetapi dilanjutkan pula dengan amalinya. Misalnya syahadah, sesudah ada keyakinan terhadap Islam dalam hatinya, maka disusuli dengan ucapan dua kalimah syahadah dengan lidah. Dan, apabila Allah mewajibkannya sembahyang, maka kita lakukan pula dengan setiap anggota badan untuk mendirikan sembahyang. Tidak bolehlah sembahyang dengan hati sahaja.
Begitu juga halnya dengan ibadah haji. Ianya bukanlah ibadah yang meraih keredaan Allah s.w.t. dengan teori dan konsep sahaja, tetapi harus dicapai dengan usaha yang praktikal, yang kita lakukan dengan anggota badan. Tidak bolehlah sekiranya seseorang berfikir dengan mengatakan, mengapa mesti bersusah payah pergi ke Mekah hanya kerana untuk mengubah sikap kita dari sikap yang lama kepada sikap yang baru, sedangkan kita boleh mempelajarinya melalui teori. Kita boleh sahaja membaca dan terus praktikkan segala ajarannya. Untuk ibadah sembahyang juga, bukankah pengajaran di dalamnya boleh difahami melalui pembacaan misalnya. Mengapa mesti sembahyang? Pemikiran-pemikiran yang sebegini tidak menepati konsep pendidikan Islam. Mengikut konsep Islam, setiap konsep yang diajarkan, mesti disertakan dengan amalinya. Dipraktikkan.
Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik amalan-amalan anggota badan ini. Dengan amalinya itulah terbit kesedaran dalam kotak fikirannya. Kesedaran ini pula yang akan mengetuk pintu hatinya untuk menanam satu konsep baru dalam dirinya, yang kita sebut sebagai sikap.
Sesuatu yang sedang kita lakukan akan mendorong kita berfikir tentang perkara itu. Jika kita berwukuf misalnya, otak kita berfikir tentang wukuf. Ini yang melahirkan sikap kita. Kemudian jika kita sertakan pula dengan doa, memohon kepada Allah s.w.t. semoga dikekalkan sikap ini, ini menguatkan lagi proses pembentukan sikap kita. Inilah kemungkinannya mengapa Islam menekankan kepada amali. Perlakuan kita menunaikan ibadah haji itulah amali. Rasulullah s.a.w. mengaturkan aktiviti amali itu bertepatan dengan proses yang disebutkan tadi. Inilah hikmah aktiviti amali yang diaturkan dalam ibadah haji kita.
Sembahyang yang kita dirikan dengan penuh khusyuk itu mendorong aliran darah ke otak dalam jumlah yang optimum , tidak ekstrim. Jadi proses pengeluaran tenaga berjalan secara natural. Berbanding jika kita mendirikan sembahyang dalam keadaan yang tergesa-gesa misalnya. Dalam ibadah haji pula, aktiviti yang diaturkan sebegitu rupa mungkin untuk tujuan proses yang sama. Jadi aktiviti-aktiviti amali dalam ibadah haji itu adalah berkaitan dengan roh atau semangat yang baru dijelaskan tadi.
Kita berihram, berwukuf di Arafah, kemudian melontar jumrah. Selesai jumrah kita kembali ke Mekah untuk Tawaf dan Saie. Kesemua ini adalah aktiviti amali. Bagi orang yang memahami semangat ihram, sebaik sahaja dia mengenakan kain ihram, maka bermulalah kesedaran dalam otaknya. Maka lahirlah pemikiran-pemikiran tentang ihram, iaitu semangat ihram itu. Dalam keadaan kita berihram itu, sebaik sampai di Arafah, maka lahir pula pemikiran-pemikiran tentang wukuf. Maka lahir pula semangat tentang wukuf. Syaratnya kita sudah faham falsafah ihram dan falsafah wukuf itu. Maksudnya kita sudah tahu teori tentang ihram dan wukuf. Jika tidak maka tidaklah berlaku proses yang diharapkan. Jadi muqasid ihram dan wukuf tidak kesampaian.
Rasulullah s.a.w. mengharapkan supaya ajaran-ajaran dan semangat di dalamnya tercapai. Tetapi jika prosesnya tidak berlaku, maka kita tidak mendapat semangat yang sepatutnya kita capai. Jadi ibadah haji kita adalah satu bentuk latihan perkemahan atau mudarasah. Dalam tempoh perkemahan inilah kita mempraktikkan teori-teori yang disebut dalam surah al-Hajj dan lain-lain itu.
Selain daripada itu, sebenarnya ada lagi pengajaran-pengajaran yang terkandung dalam aktiviti-akiviti ibadah haji kita. Pengertian daripada aktiviti-aktiviti yang kita lakukan itu yang melahirkan semangat haji. Semangat ini biasanya adalah berkaitan dengan muqasid tahsiniyat seperti akhlak dan tingkah-laku. Inilah sebahagian daripada pengajaran yang Allah s.w.t. inginkan kita mencapainya. Caranya adalah seperti yang diatur oleh Rasulullah s.a.w. Jadi adalah menjadi harapan Allah s.w.t. agar bakal haji dapat mengenalpasti semangat haji ini, dan cuba menerapkan ke dalam diri kita bagi mengubah sikap dan perilaku kita. Jadi ada dua perkara pokok yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya ketika menunaikan haji di Mekah kelak. Kedua-duanya yang tersebut tadi adalah kurikulum dalam perkemahan kita. Hanya mereka yang berjaya mengenali, menghayati, dan menerapkannya ke dalam dirinya sahaja yang akan berjaya meraih keredaan Allah s.w.t. dan mendapat rahmat dariNya. Untuk itu kita harus meng-hadapinya dengan sabar dan melakukan dengan sempurna.
Ayat-ayat dalam surah al-Hajj itu adalah sebagai teori. Teori itu menggariskan apa yang harus dicapai dengan ibadah haji kita. Tetapi aktiviti-aktiviti yang kita lakukan dalam proses menunaikan haji itu melahirkan semangat ibadah itu, iaitu semangat ibadah haji. Jadi setiap aktiviti yang kita lakukan dalam proses menunaikan haji harus difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya. Tanamkan semangat itu ke dalam jiwa semoga akan kekal hadir dalam diri kita sampai bila-bila. Maksudnya, selepas menunaikan haji, semangat ini yang harus dihidupkan, iaitu dijadikan pegangan hidup, bagi mendapat haji yang mabrur. Jadi segala susah payah dan cabaran-cabaran yang diaturkan oleh Rasulullah s.a.w. itulah dia semangat ibadah haji kita. Kita melakukannya sepanjang tempoh berada di Mekah, sebagai aktiviti perkemahan. Apakah yang kita lakukan? Sebagai contoh,
‘Barangsiapa yang mengerjakan haji kerana Allah, kemudian dia tidak berkata kotor dan berlaku fasiq, dia akan kembali seperti ketika dia dilahirkan ibunya (tanpa dosa).’ (Hadis Bukhari)
Maksudnya, haji yang kita lakukan bersama dengan rasa patuh tunduk kepada larangan-larangan seperti tidak berkata kotor dan berlaku fasik akan menghapus segala dosa. Larangan ini kita lakukan secara praktikal. Jika kebiasaannya kita bersikap sedemikian, ketika haji kita berjaya menahan diri dari melakukan kebiasaan itu, dan meninggalkannya, kemudian sikap baru ini kita kekalkan sekembali-nya ke tanahair, maka inilah yang Allah s.w.t. inginkan. Ini membuktikan bahawa haji yang sedemikian telah menjadikan dirinya seperti seorang bayi yang baru lahir. Mengikut Islam, bayi yang baru lahir adalah ibarat kain putih iaitu bermaksud bersih dari sebarang dosa. Ada agama yang menganggap sebaliknya. Bayi yang baru lahir dilihat sebagai seorang yang penuh dosa dan perlu dibersihkan dengan berlaku baik dan sebagainya. Ini adalah antara contoh semangat ibadah haji kita.
Semangat ihram. Ibadah haji dimulakan dengan berikhram. Berikhram ialah dengan mengenakan pakaian ihram. Bagi lelaki, pakaian ihramnya adalah dua helai kain yang tidak berjahit, biasanya berwarna putih. Bagi wanita pula berpakaian yang menutup aurat, iaitu menutup seluruh badan, kecuali dua tapak tangan dan muka sahaja. Biasanya berwarna putih juga. Ada beberapa perkara yang dilarang, yang mesti ditinggalkan semasa berihram.
Sebelum memakai ikhram, kita disunatkan mandi terlebih dahulu. Lalu kita mandi kerana hendak mendapat pahala, iaitu pahala sunat. Bagi pandangan mata kasar, mandi itu bertujuan untuk membersihkan kotor-kotoran jasmani. Tetapi kita akan tetap mandi juga walaupun tubuh badan kita belum lagi kotor kerana untuk meraih pahala sunatnya. Bagaimanapun pada pandangan orang-orang tasauf mandi ikhram itu mempunyai semangatnya, iaitu membersihkan kotor-kotoran rohani juga. Mereka bimbang kotoran rohani kita kelak menyebabkan Allah s.w.t. tidak akan mahu menerimanya. Maka harus menyucikan rohani kita terlebih dahulu.
Selepas mandi, kita akan mendirikan sembahyang sunat ihram kemudian mengenakan pakaian ikhram. Bagi lelaki, hanya dua helai kain yang tidak berjahit sahaja yang dibenarkan. Yang lain-lain tidak dibenarkan. Apa yang hendak difahami di sini ialah semangat yang terbit daripadanya. Sebelum memakai ikhram kita harus menanggal-kan semua tanda-tanda kebesaran kita. Sama ada kita seorang raja, ketua polis, dato’, hakim dan sebagainya terpaksa menanggalkan lambang-lambang kebesaran tersebut. Ini termasuk juga apa sahaja lambang seperti lambang-lambang kekayaan. Inilah saatnya kita tidak dapat melihat lagi perbezaan-perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin, yang berpangkat dengan yang tidak. Inilah semangat ikhram itu. Tentu kita dapat mengagak apakah falsafah di sebalik semua ini. Misalnya, inilah caranya Allah s.w.t. mendidik kita agar tidak bersikap membeza-bezakan antara sesama manusia. Di sisi Allah s.w.t. semuanya itu tidak ada ertinya, kecuali ketaqwaan kita.
Pakaian ikhram itu juga harus kita sedari bahawa itulah pakaian kita ketika meninggalkan dunia ini kelak. Menjelang saatnya kita hendak dimasukkan ke liang lahad, itulah pakaian kita. Pangkat dan harta, semuanya kita akan tinggalkan seperti mana kita hendak berikhram. Yang hendak dinyatakan di sini ialah bahawa permulaan ikhram adalah dilakukan serentak bersama-sama dengan para jemaah haji yang lain. Selain bersama-sama dalam ikhram, setiap peringkat ibadah haji dilakukan bersama-sama juga, misalnya tarikh dan waktu wukuf, melontar jumrah, tawaf dan saie. Tidak boleh mana-mana ahli jemaah mendahului atau melewatkannya. Satu lagi ialah bahawa semuanya dilakukan secara terbuka. Jadi pada peringkat ikhram, setiap ahli jemaah haji kelihatan sama, sama ada yang kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, tidak kira apa bangsa dan dari sudut dunia mana datangnya, kelihatan sama dan bersama-sama.
Semangat wukuf. Wukuf adalah saat waktunya kita bersama Allah s.w.t. Ketika berwukuf kita harus meletakkan diri ibarat berhadapan denganNya, atau yakinlah bahawa Dia sedang memerhatikan kita. Inilah ketikanya kita seakan-akan sedang berdialog dengan Allah s.w.t. Inilah juga ketikanya kita sedang menjalin hubungan mesra dalam satu situasi yang privasi denganNya. Inilah antara kefahaman yang harus ada pada kita tentang wukuf.
Dengan kefahaman ini sewajarnya kita akan teruskan semangat wukuf itu walaupun setelah kita balik dari mengerjakan haji. Janganlah pula beranggapan bahawa wukuf hanya boleh dilakukan di padang Arafah pada 9 Zulhijjah sahaja. Setelah kita mengeluarkan belanja yang besar dengan susah payah, menjalani ibadah wukuf di sana, apakah kita tidak merasai betapa bertuahnya kita. Maka apakah kita hanya merasai aromanya dalam tempoh beberapa jam sahaja di sana? Selepas itu tiada apa-apa lagi yang hendak dilakukan?
Sepatutnya ibadah wukuf itu kita fahami, rasainya, dan tanamkan semangatnya ke dalam diri kita semoga kekal hingga akhir hayat kita. Dengan kata lain, jadikanlah wukuf itu sebagai detik-detik pembelajaran. Dalam satu tempoh yang begitu singkat itulah kita terapkan semangatnya sedapat mungkin. Pohonlah kepada Allah s.w.t. semoga dalam tempoh yang sesingkat itu semangatnya tertanam dalam jiwa kita. Panjatkan doa agar semangat wukuf itu akan menjadi suatu kebiasaan sekembalinya ke rumah. Dengan semangat inilah kelak kita akan mengekalkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. seperti mana yang kita lakukan ketika wukuf. Kita akan terasakan bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama kita dalam satu bentuk hubungan yang harmonis. Lalu kita akan bercita-cita untuk terus bersamaNya walaupun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja sekembalinya kita ke tanahair. 
Antara semangat wukuf yang lain ialah perpaduan. Jadikan semangat ini sebagai formula kepada perpaduan tanpa melihat perbezaan-perbezaan mazhab, politik mahupun kebangsaan. Kerana inilah yang kita lalui ketika wukuf. Semua bangsa dan dari mana datangnya, duduk bersama dalam satu ruang fizikal sperti yang diperintahkan iaitu padang Arafah. Jika ini iktibar yang kita ambil dari semangat wukuf itu, maka tidak akan wujud lagi gejala perpecahan dalam kalangan umat (Islam). Luputnya semangat ini dari dalam diri kita, akan mengurangkan pula peluang untuk mendapat haji yang mabrur.
‘Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang tercerai berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat adzab yang berat.’ (al-Imran, 105)
Wukuf juga boleh dilihat sebagai lambang perhimpunan di padang Mahasar. Setiap jemaah haji harus menghayati perlambangan ini. Bahawa kita semua bakal dihimpunkan pada suatu tempat yang terbuka, terdedah kepada cuaca panas tanpa naungan. Rahmat Allah s.w.t. sahaja yang akan dapat melindungi kita dari kesusahan ini.
Perkataan arafah itu sendiri bererti mengenali diri, atau arif diri. Jadi di padang Arafah itulah juga Allah s.w.t. inginkan kita mengenali diri kita sendiri. Dengan mengenali diri sendiri, akan menjurus kepada mengenali Allah s.w.t. Jadi apakah yang hendak kita lakukan ketika wukuf? Tiada, kecuali diam. Dengan kata lain, ketika diam inilah saatnya kita harus merenung siapakah kita! Kita bermuhasabah diri. Siapakah kita, sikap kita, apakah yang telah dan sedang kita lakukan selama ini, umur kita dan untuk apakah usia kita setakat ini. Dan paling penting, apakah kita telah menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya, dan sebagainya. Kemudian kita berdoa mohon keampunan dan diberi kebaikan di dunia dan akhirat.
‘Bukanlah satu dosa bagimu mencari kurnia dari Tuhanmu. Maka apabila kamu bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy’arilharam. Dan berzikirlah kepadaNya sebagaimana Dia telah memberi petunjuk kepadamu, sekalipun sebelumnya kamu benar-benar termasuk orang-orang yang tidak tahu.’ (al-Baqarah, 198)
Semangat korban. Qurban adalah ibadah harta. Kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita (wang) untuk membeli binatang qurban. Daging qurban ini mesti diagih-agihkan kepada semua orang baik yang kaya mahupun yang miskin. Allah berfirman yang maksudnya,
‘Dan unta-unta itu Kami jadikan untukmu bahagian dari syiar agama Allah, kamu banyak memperoleh kebaikan padanya. Maka sebutlah nama Allah (ketika kamu menyembelih) dalam keadaan berdiri (dan kaki-kaki terlah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (unta-unta itu) untukmu, agar kamu bersyukur.’ (al-Hajj, 36)
Ayat ini memerintahkan berqurban. Selain untuk faedah sendiri, yang lainnya disarankan untuk sedekah kepada mereka yang tidak mampu dan mereka yang miskin. Ketika mengerjakan haji, dan atas rasa ketakwaan terhadap ayat ini, maka kita reda dan dengan hati terbuka, berkorban wang dengan membeli seekor dua binatang qurban, kita sembelih dan kita bahagikan daging qurban untuk orang lain.
Semangat dari ibadah ini ialah pengorbanan. Kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita untuk membantu orang-orang miskin. Jadi, berqurban di sini bukanlah dalam bentuk menyembelih binatang itu sahaja. Tetapi sejajar dengan semangat qurban itu ialah sedia berkurban dengan harta untuk membantu orang miskin dan fakir. Inilah yang diinginkan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang melakukan ibadah qurban.
Semangat berqurban ini sebenarnya sudah mula kita lakukan dalam ibadah puasa. Dalam bulan puasa misalnya, biasanya kita memang suka memberi sedikit sebanyak juadah untuk jiran dan sebagainya. Dengan kata lain, sebenarnya ini adalah sikap memberi makan kepada orang lain.
'Katakanlah (Muhammad), apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan?’ (al-Anam, 14)
Selain daripada itu, Allah s.w.t. mengatur ibadah qurban ini bagi mengujudkan suasana kesamaan agar semua orang sama-sama bergembira. Kepada orang yang berqurban pula ini adalah asuhan bagi membuang sikap egonya, tidak suka mengambil peduli terhadap orang lain.
Malangnya, sebahagian ahli jemaah haji terlupa dengan seruan di atas. Biarpun al-Quran telah mengajarkan semangan kebersamaan, sebahagiannya masih gagal mengawal sikap egonya, lantas berlaku ciri-ciri individualisma, walaupun ketika masih dalam ibadah haji itu sendiri. Ketika tawaf misalnya, mereka tidak mengamalkan semangat kebersamaan, iaitu bergerak bersama-sama dengan jemaah haji yang lain. Apa yang dapat kita lihat ialah sebahagian mereka berebut-rebut untuk mendahului yang lain. Maka ujudlah suasana kurang tenteram dan mengganggu ahli jemaah lain. Ini adalah sikap ego.
Semangat jumrah. Melontar jumrah adalah mengajar kita erti tentang melawan syaitan, atau anti-syaitan. Syaitan adalah makhluk yang sentiasa mengajak ke jalan kerosakan dan kesesatan. Jadi kita harus mempunyai sikap anti terhadapnya. Jangan sesekali ada kompromi dengan makhluk ini. Inilah semangat dari ibadah melontar jumrah.
Jadi semangat melontar itu iaitu sikap anti-syaitan, harus kita tanam ke dalam diri kita, dan kita kekalkan walaupun selepas menunaikan haji. Dengan sikap ini kita tidak akan lagi melakukan perkara-perkara mungkar dan mengikut jalan kesesatan atas pujukan syaitan.
Semangat tawaf. Tawaf ialah berjalan mengelilingi Kaabah. Tawaf bermula dari paras Hajar al-Aswad, berjalan ke arah lawan pusingan jarum jam, mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali dan berakhir di tempat yang sama. Ini seakan-akan satu lambang kehidupan kita. Kita dilahirkan, membesar dan menjalani kehidupan tetapi akhirnya kita akan kembali ke rahmatullah. Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jua kita akan kembali. Atau, bahawa setiap yang bermula akan berakhir.
Pada peringkat ikhram, kita sudah mula menghayati semangat kebersamaan. Maka semangat kebersamaan ini harus kita buktikan ketika tawaf. Jadi sepatutnya kita sudah mula membuang sikap ego dan mementingkan diri. Maka kita lakukan tawaf secara bersama-sama dengan orang lain. Misalnya, ketika tawaf kita berjalan bersama-sama dengan yang lain, tidak harus bererbut-rebut untuk mendahului yang lain. Jadi kita buktikan secara praktikal. Inilah sikap yang sepatutnya terbit dari tawaf kita. Tidak sepatutnya ada lagi sikap ego, mementingkan diri.
Semangat saie. Saie mengingatkan kita tentang kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar meninggalkan isterinya Siti Hajar bersama anaknya yang masih bayi iaitu Ismail. Perintah ini tersurat dalam al-Quran, yang maksudnya,
‘Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadilanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.’ (Ibrahim, 37)
Dalam keadaan muka bumi yang kering kontang tanpa tumbuhan, Hajar terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan air untuk anaknya, Ismail. Dia berlari-lari berulang-alik dari bukit Safa ke bukit Marwa untuk mencari sumber air. Namun gagal. Tetapi diriwayatkan Ismail yang menginjak-injakkan kakinya ke bumi berpasir di sisi kaabah itu menerbitkan sumber air zam-zam. Telaga zam-zam yang ada sekarang ini adalah tinggalan dari peristiwa itu. Apakah iktibar dari peristiwa yang dilalui oleh Siti Hajar ini?
Itulah beberapa contoh yang semangat haji yang dilahirkan dari aktiviti-aktiviti sepanjang kita menunaikan haji.