Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Satu Pandangan

Sah haji belum tentu mabrur. Haji yang mabrur adalah yang dapat mengubah sikap dan tingkah-laku. Berbakti dan beramal soleh. Ramai tidak menyedari bahawa ibadah-ibadah kita ada muqasidnya. Ada matlamatnya yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya. Ianya bukan sekadar ibadah ritual sahaja. Ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji kita ada rohnya yang mesti dihidupkan. Jika tidak ibadah kita hanya tinggal ibadah, sebagai tanda keimanan semata-mata, tetapi tidak mendapat rahmat Allah s.w.t., atau dengan kata lain Allah tidak menerima ibadah kita. Jadi sah haji belum tentu mabrur, kecuali setelah muqasidnya tercapai.

Suatu tanggapan
Malangnya ramai yang tidak menyedari perkara ini. Kerana itu ramai yang menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji, tanpa matlamat. Ini menyebabkan ibadahnya tidak memberi bekas dalam dirinya. Jadi, dirinya tidak terdidik oleh ibadah yang dilakukannya. Maka ibadahnya hanya tinggal ibadah sebagai formaliti yang ritual sahaja. Inilah yang terjadi dalam masyarakat kita. Dari pemerhatian dan sembang saya bersama rakan-rakan dari kalangan agamawan, memang terbukti, rata-rata umat Islam, termasuk yang bakal menjadi pendidik agama sendiri menunjukkan tidak menyedari perkara ini. Sama ada dari golongan tua atau muda, orang berpelajaran atau yang di kampung-kampung, tidak menyedarinya.
Saya pernah mengujinya kepada sekumpulan pelatih bakal guru agama di sebuah maktab perguruan. Secara kebetulan pada waktu rehat pagi itu, perjalanan saya melalui kakilima, terhalang oleh sekumpulan lima orang pelatih wanita, bakal guru agama, yang sedang sembang. Lalu saya menegur mereka agar tidak menghalang laluan, sambil saya menyebut satu hukum dari bab sembahyang, ‘Makruh sembahyang di laluan’. Agak terkejut juga kerana jawapan salah seorang daripada mereka ialah ‘itu dalam sembahyang encik’. Itulah bahasanya kerana saya seorang pensyarah di maktab berkenaan.

Jawapan itu menunjukkan mereka tahu hukum berkenaan, tetapi bagi mereka, itu tiada kaitannya dengan perlakuan mereka menghalang laluan itu. Ini membuktikan wujudnya tanggapan bahawa ibadah itu ibadah, tiada kaitannya dengan kehidupan seharian.
Saya bertanggapan bahawa ibadah sembahyang, haji dan lain-lain itu ada muqasidnya, ada matlamatnya yang Allah inginkan kita mencapainya. Ianya adalah satu proses pendidikan. Tetapi pemikiran ini dilihat oleh rakan-rakan yang saya hubungi mengatakan bahawa saya berfikiran sufi. Saya yang tidak begitu tahu tentang fahaman sufi, hanya diam akur sahaja apabila dianggap demikian. Namun, sama ada apa yang saya fikirkan ini fahaman sufi atau apa sahaja sekalipun, saya tetap yakin bahawa apa yang saya fikirkan ini adalah hal yang betul.
Label sufi tadi memberikan saya satu gambaran bahawa golongan sufi adalah sebagai satu golongan elit agama, yang terasing dari masyarakat awam. Seolah-olah fahaman dan pegangan orang sufi itu bukan untuk orang awam seperti kita. Tetapi tanggapan saya tadi sudah menafikannya. Jika kita menerima tanggapan bahawa sesuatu ibadah itu ada matlamatnya, maka golongan sufi ini adalah yang betul. Mereka melihat bahawa ibadah kita mempunyai matlamat yang harus dicapai oleh semua orang, termasuk orang awam seperti kita juga. Mereka melihat pengajaran fiqh kita itu harus disertakan pula dengan matlamatnya. Kerana itu mereka tidak membataskan pengajaran fiqh kepada hukum-hakam, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika mendirikan sembahyang, haji dan lain-lain itu. Bagi mereka fiqh adalah praktikal. Di dalamnya dimasukkan sekali iktibarnya agar boleh dijadikan panduan dalam menjalani hidup seharian. Tidak sepatutnya dipisahkan antara tujuan ritualnya dengan iktibarnya. Kedua-duanya harus berjalan sekali lalu. Barulah di sana kita dapat melihat matlamat sesuatu ibadah itu. Jadi sudah masanya kita mengubah persepsi ini, dengan membina satu tanggapan baru yang tidak lagi memisahkan antara golongan fiqh dengan golongan sufi, selagi tidak menyimpang dari syariat dan sunnah.
Matlamat ibadah kita itu adalah asas kepada pembentukan sikap dan peribadi mulia. Banyak elemen di dalam ibadah kita itu yang boleh kita jadikan etika hidup. Kita dibenarkan mengambil qias selagi tidak menyimpang dari ajaran al-Quran dan Sunnah. Hukum sembahyang yang tersebut di atas tadi misalnya, mengajar kita tentang membuat halangan. Inilah antara contoh qias yang terbit dari hukum tersebut. Itulah antara semangat sembahyang kita, yang lahir dari satu hukum makruh. Ini adalah termasuk dalam muqasid tahsiniyat, iaitu salah satu muqasid syariah. Muqasid-muqasid yang lainnya akan kita ketemukan kemudian.


Matlamat ibadah haji
Haji yang mabrur adalah yang dapat mencapai matlamatnya. Jadi kenalilah matlamat ibadah haji kita. Banyak ayat-ayat al-Quran yang mengajarkan kita apa yang harus kita capai dalam ibadah haji. Paling kurang kita harus merujuk kepada surah al-Hajj.Selain yang terkandung dalam surah ini, banyak lagi ayat-ayat yang berkaitan.

Semangat ibadah haji 
Semangat haji yang disebutkan dalam buku ini hanyalah contoh yang boleh dijadikan panduan bagi mencari yang lain-lain. Berihram misalnya, mengajar erti nilai kesejagatan, kebersamaan, zuhud, membuang sikap ego dan sebagainya. Banyak lagi yang boleh kita fikirkan.
Aktiviti-aktiviti yang lain juga mengandung semangat yang harus kita kenali, hayati. Jika dapat jadikan amalan sekembalinya ke tanahair kelak, bererti matlamat haji kita tercapai. Kenalilah semangat dari wukuf, qurban, melontar jumrah, tawaf dan saie. Jika kita halusi kesemuanya akan menjadi pendidikan ke arah mengubah sikap dan peribadi kita.


Tujuan ibadah haji
Bagi mempertingkatkan ketakwaan kita, maka kenalilah tujuan kita ke Mekah itu sendiri. Di sanalah terdapatnya khazanah-khazanah yang membuktikan kebesaran Allah s.w.t. jika kita menyedarinya. Kaabah dan tempat saie itu adalah antaranya. Yang dimaksudkan di sini ialah bahawa di sana kita dapat menyaksikan sendiri syiar-syiar Allah s.w.t. Carilah syiar-syiar yang lain, yang selalu kita dengar disebut-sebut dalam al-Quran kita.


Namun yang paling penting sekali ialah perubahan sikap. Untuk mendapat haji yang mabrur, sikap kita harus berubah sejajar dengan yang tersebut di atas ini. Ibnu Hajar al-Haitami, menyebut, ‘Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik, dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran.’

Amalan selepas menunaikan haji
Kehidupan kita seharusnya biarlah yang serasi dengan semangat-semangat haji dan ajaran-ajaran yang kita ketahui dari ayat-ayat di atas. Sebagai khalifah Allah s.w.t., aktiviti kehidupan kita kelak harus meliputi sekali hal-hal yang hablum-minannas, jangan terlalu mirip kepada hablumminallah. Kedua-duanya harus berjalan sekali lalu, dan seimbang. Ini serasi dengan Rivolusi Rasulullah s.a.w. yang akan kita temui di bahagian hujung buku ini, dan tujuan Allah mengutus Muhammad s.a.w. iaitu untuk membawa rahmat untuk sekalian alam. Inilah yang Allah s.w.t. ingin kita capai dari ibadah haji.


Untuk mencapai matlamat ibadah, kita harus memahami falsafah ibadah itu sendiri. Satu cara lagi ialah melihat sesuatu hukum di dalamnya sebagai qias, atau melakukan ijtihad. Pandangan ini mungkin menyulitkan bagi sesetengah orang seperti kita. Tetapi itulah hakikatnya. Kita harus mencari jalannya. Itu sebabnya Allah s.w.t. mewajibkan kita menuntut ilmu.
Bagi bakal haji, inilah antara persiapan kita sebelum bertolak ke tanah suci Mekah. Kesediaan kita untuk mencapai matlamat ibadah haji ini adalah satu-satunya cara untuk meraih haji yang mabrur.
Bagi yang sudah haji lima atau sepuluh tahun yang lalu, pandangan dan saranan dalam buku ini boleh dijadikan contoh tentang apa yang harus kita lakukan. Kita masih mempunyai banyak masa dan peluang untuk membaiki kesilapan kita. Peluang masih terbuka untuk untuk menghidupkan semangat haji kita, dan melakukan amal soleh yang berkaitan. Ini juga adalah antara jalan taubat yang sebaik-baiknya.