Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Haji: Renungan


Sah haji belum tentu mabrur. Untuk sah haji, hanya ada enam perkara sahaja yang mesti disempurnakan ketika melakukan ibadah haji, iaitu:
  1. Ihram (berniat untuk memulakan ibadah haji dan umrah),
  2. Berada di Padang Arafah pada 9 Zulkhijah, mulai daripada tergelincir matahari sampai terbit fajar 10 Zulkhijah,
  3. Tawaf (mengelilingi Kaabah). Tawaf untuk haji dinamakan tawaf ifadah,
  4. Saie (berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwa),
  5. Bercukur atau menggunting rambut, paling kurang tiga helai,
  6. Tertib (dimulakan dengan 1 dan diakhiri dengan 5)
Dengan melakukan kesemua perkara ini, maka haji kita sah. Mabrurkah?
Mungkin ada yang mengatakan tidak mabrur kerana hajinya kurang sempurna. Ibadah haji yang sempurna adalah dengan melakukan sekali perkara-perkara yang wajib. Ya, dalam ibadah haji memang ada perkara-perkara yang menjadi rukun haji dan wajib haji. Rukun haji yang enam itu akan menentukan haji kita sah atau tidak. Tetapi perkara-perkara yang wajib dalam haji cuma dituntut menunaikannya. Jika tidak dilakukan sekalipun haji kita tetap sah, cuma perlu membayar dam atau denda.
Perkara-perkara wajib haji adalah seperti berikut:
  1. Berihram di Miqat (tempat yang ditentukan dan ikut masa tertentu,
  2. Menghadirkan diri di Muzdalifah selepas tengah malam iaitu pada malam Hari Raya Haji, selepas meninggalkan Arafah,
  3. Melontar Jumrah Aqabah pada Hari Raya Haji, iaitu 10 Zulhijah,
  4. Melontar tiga jumrah: iaitu jumrah pertama, kedua dan ketiga, menggunakan tujuh anak batu, setiap satu jumrah. Waktunya ialah selepas gelincir matahari,
  5. Bermalam di Mina,
  6. Tawaf wida’, iaitu tawaf pada saat-saat hendak meninggalkan Mekah,
  7. Menjauhkan diri dari segala larangan atau perkara yang diharamkan semasa berihram.
Katalah seseorang yang mengerjakan haji telah menyempurnakan kesemua rukun haji dan perkara-perkara wajib yang ditetapkan, mabrurkah? Entah ya! Tidak lagilah kerana belum melakukan yang sunat-sunat! Katalah mereka sudah menambah pula dengan perkara-perkara sunat, banyak membaca doa ketika wukuf di Arafah, ketika tawaf sunat. Pada waktu-waktu yang lain, umpamanya ketika berada dalam masjid al-Haram, kebanyakan masa digunakan untuk membaca al-Quran, bertasbih dan berzikir. Di samping itu, dijalankan juga usaha-usaha dengan penuh hati-hati mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang dilarang semasa berihram dengan haji seperti tidak memakai bau-bauan atau minyak rambut, tidak juga mencukur rambut atau kuku, tidak memunuh binatang, tidak juga terlibat dengan hal-hal nikah kahwin. Bagi lelaki, misalnya, ketika berihram, haram memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala; bagi perempuan pula, tidak menutup muka dan dua tapak tangannya. Kebanyakan masa kosongnya diisi pula dengan mengerjakan umrah sunat sebanyak-banyaknya. Pendek kata daripada perkara-perkara rukun, wajib haji dan yang sunat-sunat, sampai kepada meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, kesemuanya sudah disempurnakan, apakah sudah mendapat haji yang mabrur?
Jika sekadar itu sahaja syarat untuk mendapat haji mabrur, maka ramailah yang mendapatnya, kerana logiknya ramai yang mampu melaksanakan kesemua perkara yang tersebut di atas. Pendek kata mereka telah membuat persediaan yang terbaik. Tidak mustahil kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan mereka yang pergi ke Mikah memang dapat menyempurnakan sepenuhnya. Tetapi mengapa dari seribu orang yang menunaikan haji hanya seorang dua sahaja yang mendapat haji mabrur? Kenyataan ini sering didengar dalam ceramah-ceramah dan kuliah agama.
Adakah kerana, umpamanya ramai antara mereka yang niatnya tidak suci, tidak seratur peratus untuk menunaikan haji. Misalnya, dari awal lagi niatnya ke Mekah bercampur dengan tujuan lain, seperti berdoa di hadapan Kaabah moga anak daranya cepat mendapat jodoh, agar suami atau isterinya yang lumpuh akibat stroke akan cepat sembuh. Atau lebih jauh dari itu, niatnya bercampur dengan tujuan untuk membeli barang dagangan atas kiriman orang dan sebagainya. Pendek kata pemergian mereka itu tidak seratus peratus untuk menunaikan haji. Manakan boleh mendapat haji mabrur! Tetapi berapa ramaikah yang niatnya ke Mekah bercampur baur dengan niat-niat lain seperti contoh-contoh tadi? Daripada dua puluh lima ribu orang dari Malaysia yang ke Mekah untuk menunaikan haji, berapa ramikah yang mempunyai niat begitu? Tetapi mengapa hanya segelintir sahaja yang mendapat haji yang mabrur. Itulah yang disebutkan pada awal tadi bahawa sah haji belum tentu mabrur.
Diriwayatkan Abdullah bin Mubarak yang tertidur di Masjidilharam, bermimpi ada dua malaikat turun dan bersembang tentang haji yang mabrur. Disebutkan dalam dialognya menyebut, antara 600,000 orang yang mengerjakan haji, hanya seorang sahaja yang mendapat yang mabrur, tetapi orang itu tidak pula mengerjakan haji di Mekah. Orang itu bernama Muaffaq, seorang tukang kasut, tinggal di Damsyik. Kerana kemiskinan dia tidak dapat menunaikan haji. Tetapi tetap berusaha mengumpul wang dengan membaiki kasut. Malangnya bila mendengar ada orang kesusahan sehingga tidak makan, wang yang dikumpulkan itu disedekahkan kesemuanya. Dalam hatinya berkata, di sinilah hajiku (di tempat dia menyerahkan wang itu). Dikatakan, kerana keikhlasannya memberi sedekah dengan wang yang dimaksudkan untuk mengerjakan haji itu, maka dia telah mendapat haji yang mabrur.
Bangkit dari tidurnya, Abdullah segera mencari Muaffaq. Setelah bertemu, dia meminta Muaffaq menceritakan bagaimana dia mendapat haji yang mabrur. Maka diceritakan seperti  di atas. Keikhlasan.
Ust Dr Zulkifli dalam rancangan Tanyalah Ustaz bertajuk Hikmah dan Falsafah Haji di TV9 30 Oktober 2010 misalnya menyebut, mabrur bermaksud perubahan sikap. Maknanya, haji yang mabrur adalah haji yang dapat mengubah sikap. Jadi haji yang mabrur adalah yang dapat membuat perubahan dari sikap yang sedia ada kepada sikap baru yang berkait dengan ibadah haji.
Dalam Kamus Dewan, sikap diberi erti sebagai gaya berdiri (bergerak, berpakaian, dll), atau perbuatan atau pandangan yang berdasarkan sesuatu pendapat (fikiran dll). Manakala gaya pula bermaksud sikap, kesukaan, ketaksukaan dan cara berkelakuan yang menjadi ciri seseorang. Dimasukkan juga kesajakan, keanggunan dan ketrampilan yang menarik perhatian. Dan lagi, cara jalan yang bermaksud kaedah, contoh yang disebut ialah cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu iaitu cara-cara kita memberi pandangan. Kita memberi pandangan boleh dengan bertutur, menulis, melukis, menggunakan gerakbadan dan sebagainya. Perbuatan pula ialah segala yang dibuat, kerja, tindakan. Atau cara kita menggunakan anggota seperti kaki, tangan, mata, mulut dan lain-lain. Setiap pergerakan anggota ini adalah perbuatan kita. Jadi kesemua yang tersebut ini adalah sikap kita yang ada sekarang ini.
Jika inilah takrif mabrur, bermakna menunaikan haji adalah satu proses pendidikan, yang tujuannya adalah mengubah sikap dan tingkah laku. Jadi ibadah haji adalah ibarat sebuah institusi pendidikan. Sepanjang sesi menunaikan ibadah haji yang hanya selama enam atau tujuh hari itulah yang diharapkan dapat mengubah sikap kita. Dalam masa enam atau tujuh hari itulah kita mempraktikkan teori-teori yang telah disampaikan ketika menghadiri kursus sebelumnya. Jadi keberkesanan kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) tempoh hari adalah titik-tolak segala-galanya. Jika takrif mabrur di atas tadi dapat difahami sepenuhnya, sempurna, maka tujuan untuk mengubah sikap kita akan tercapai. Kita akan mendapat haji yang mabrur.
Untuk mengubah sikap, kita harus memahami maksud ibadah haji yang kita jalankan. Pengertian di sebalik perkara-perkara yang menjadi rukun dan wajib haji itu mestilah difahami dengan bersungguh-sungguh. Itulah roh ibadah haji kita. Roh ibadah inilah yang sepatutnya dihidupkan sekembalinya ke tanah air kelak. Dengan itu, barulah dapat dilihat bahawa sikap kita sudah berubah. Gaya kita bergerak dan berpakaian sudah berubah; perbuatan dan cara kita memberi pandangan, kelakuan dan penampilan kita juga sudah berubah dan lebih menarik, dan lain-lain lagi. Jadi perubahan diri kita bukan setakat cara berpakaian sahaja, seperti memakai kopiah haji atau berserban dan berjubah sahaja. Perubahan diri kita sepatutnya meliputi setiap aspek kehidupan seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan itu. Barulah haji kita mabrur.