Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Haji yang mabrur adalah yang membawa rahmat


Sah haji belum tentu mabrur. Untuk mendapat haji yang mabrur, ada syarat yang mesti dipenuhi, atau ada sesuatu yang lain yang mesti dilakukan selepas menunaikan ibadah tersebut.

Untuk sah haji, hanya enam perkara yang mesti disempurnakan ketika melakukan ibadah haji, iaitu:
1. Ihram (berniat untuk memulakan ibadah haji dan umrah),
2. Berada di Padang Arafah pada 9 Zulkhijah, mulai daripada tergelincir matahari sampai terbit fajar 10 Zulkhijah,
3. Tawaf (mengelilingi Kaabah). Tawaf untuk haji dinamakan tawaf ifadah,
4. Saie (berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwa),
5. Bercukur atau menggunting rambut, paling kurang tiga helai,
6. Tertib (dimulakan dengan 1 dan diakhiri dengan 5)
Dengan melakukan kesemua perkara ini, maka haji kita sah. Tetapi sah haji belum tentu mabrur. Mungkin ada yang mengatakan tidak mabrur kerana hajinya kurang sempurna. Ibadah haji yang sempurna adalah dengan melakukan sekali perkara-perkara yang wajib. Ya, dalam ibadah haji memang ada perkara-perkara yang menjadi rukun haji dan wajib haji. Rukun haji yang enam itu akan menentukan haji kita sah atau tidak. Tetapi perkara-perkara yang wajib dalam haji cuma dituntut menunaikannya. Jika tidak dilakukan sekalipun haji kita tetap sah, cuma perlu membayar dam atau denda.

Perkara-perkara wajib haji adalah seperti berikut:
1. Berihram di Miqat (tempat yang ditentukan dan ikut masa tertentu,
2. Menghadirkan diri di Muzdalifah selepas tengah malam iaitu pada malam Hari Raya Haji, selepas meninggalkan Arafah,
3. Melontar Jumrah Aqabah pada Hari Raya Haji, iaitu 10 Zulhijah,
4. Melontar tiga jumrah: iaitu jumrah pertama, kedua dan ketiga, menggunakan tujuh anak batu,setiap satu jumrah. Waktunya ialah selepas gelincir matahari,
5. Bermalam di Mina,
6. Tawaf wida’, iaitu tawaf pada saat-saat hendak meninggalkan Mekah,
7. Menjauhkan diri dari segala larangan atau perkara yang diharamkan semasa berihram.

Ini adalah perkara-perkara wajib haji. Kita mesti tunaikan dengan sempurna. Jika tidak ditunaikan kita akan dikenakan dam. Tetapi tidak menjadi syarat haji kita sah atau tidak. Katalah kita tidak dapat membuat yang ke-2 itu, dan tidak pula membayar dam, haji kita tetap sah. Tetapi cara itu menyebabkan menanggung dosa kerana meninggalkan satu perkara yang wajib. Untuk membersihkan dosa kerananya, maka kita wajib membayar dam.

Katalah seseorang yang mengerjakan haji telah menyempurna-kan kesemua rukun haji dan perkara-perkara wajib yang ditetapkan, ditambah pula dengan melakukan sebanyak mungkin perkara-perkara sunat, banyak membaca doa dan bertafakur ketika wukuf di Arafah atau ketika tawaf umrah sunat. Pada waktu-waktu yang lain, umpamanya ketika berada dalam masjid al-Haram, kebanyakan masa digunakan untuk membaca al-Quran, bertasbih dan berzikir. Di samping itu, dijalankan juga usaha-usaha dengan penuh hati-hati mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang dilarang semasa berihram dengan haji, seperti tidak memakai bau-bauan atau minyak rambut, tidak juga mencukur rambut atau memotong kuku, tidak membunuh binatang, tidak juga terlibat dengan hal-hal nikah kahwin. Bagi lelaki, misalnya, ketika berihram, tidak memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala; bagi perempuan pula, tidak menutup muka dan dua tapak tangannya. Kebanyakan masa kosongnya diisi pula dengan mengerjakan umrah sunat sebanyak-banyaknya. Pendek kata daripada perkara-perkara rukun, wajib haji dan yang sunat-sunat, sampai kepada meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, kesemuanya sudah disempurnakan, apakah sudah mendapat haji yang mabrur?

Jika sekadar itu sahaja syarat untuk mendapat haji yang mabrur, maka ramailah yang mendapatnya, kerana logiknya ramai yang mampu melaksanakan kesemua perkara tersebut. Pendek kata mereka telah membuat persediaan yang terbaik. Tidak mustahil kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan mereka yang pergi ke Mekah memang dapat menyempurnakan sepenuhnya. Tetapi mengapa dari seribu orang yang menunaikan haji hanya seorang dua sahaja yang mendapat haji mabrur? Kenyataan ini sering didengar dalam ceramah-ceramah dan kuliah agama.

Adakah kerana, umpamanya ramai antara mereka yang niatnya tidak suci, tidak seratur peratus untuk menunaikan haji. Misalnya, dari awal lagi niatnya ke Mekah bercampur dengan tujuan lain, seperti berdoa di hadapan Kaabah moga anak daranya cepat mendapat jodoh, agar suami atau isterinya yang lumpuh akibat stroke akan cepat sembuh. Atau lebih jauh dari itu, niatnya bercampur dengan tujuan untuk membeli barang dagangan atas kiriman orang dan sebagainya. Pendek kata pemergian mereka itu tidak seratus peratus untuk menunaikan haji. Manakan boleh mendapat haji mabrur! Tetapi berapa ramaikah yang niatnya ke Mekah bercampur baur dengan niat-niat lain seperti contoh-contoh tadi? Daripada dua puluh lapan ribu orang dari Malaysia yang ke Mekah untuk menunaikan haji, berapa ramikah yang mempunyai niat begitu? Tetapi mengapa hanya segelintir sahaja yang mendapat haji yang mabrur. Itulah yang disebutkan pada awal tadi bahawa sah haji belum tentu mabrur.

Satu riwayat yang saya baca di internet (lupa alamatnya) menyebutkan, ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi ada dua orang malaikat turun dari langit. Kedua-dua malaikat berdialog,

Malaikat 1: Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?

Malaikat 2: Enam ratus ribu orang.

Malaikat 1: Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji mereka?

Malaikat 2: Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya ialah Muwaffaq, seorang tukang kasut. Dia tinggal di Damsyik. Dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima.

Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya. Tanpa membuang masa lagi, dia berangkat ke Damsyik dengan segera. Sebaik sahaja sampai di Damsyik, dia terus sahaja mencari-cari tukang kasut yang disebut dalam mimpinya. Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu, Abdullah mengetuk pintu. Muncullah seorang lelaki.

Abdullah: Apa nama saudara.

Muwaffaq: Nama saya Muwaffaq.

Abdullah: Tolong beritahu kepadaku apakah amalan yang kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?

Muwaffaq : Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka aku tidak dapat menunaikannya. Tetapi dengan tidak disangka-sangka aku mendapat wang 300 dirham dari pekerjaanku, lalu aku berniat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Tetapi isteriku pula sedang hamil. Suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia mengidam ingin memakan makanan yang terbau itu. Aku pergi ke rumah jiranku, dan aku ketuk pintu rumahnya. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun maklumkan hajat isteriku kepadanya. Lalu jiranku berkata,
"Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka tidak mengapalah aku memberitahumu. Sebenarnya anak-anak yatim di rumahku ini sudah tiga hari tidak makan, lalu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan bangkai seekor himar, maka aku ambil sebahagiannya lalu aku masak, makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu.

Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu dan aku katakan kepadanya : ‘Belanjakanlah wang ini untuk anak-anakmu.’

Sebelum beredar pergi, Muwaffaq berbisik dalam hatinya, menyebut Hajiku di muka pintu rumahku (rumah jiranku).

Pengertian dari riwayat ini ialah tentang keikhlasan. Iaitu keikhlasan hati Muwaffaq memberi sedekah. Oleh kerana sedekah-nya menggunakan wang yang dihajatkan untuk haji, menyebabkan seolah-olah dia telah menunaikan haji walaupun dia tidak ke Mekah.

Ini perpadanan pula dengan satu hukum yang menyebut bahawa jika kita sudah menunaikan haji, dan berhajat untuk pergi lagi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya, adalah lebih baik kita sedekahkan belanja haji kita kepada orang miskin yang sangat-sangat berhajat untuk pergi. Mengikut hukum tersebut, kita akan mendapat pahala haji seperti kita pergi sendiri.

Yang hendak kita perhatikan di sini ialah tentang mendapat haji yang mabrur. Malaikat 2 menyebut, antara 600,000 orang hanya seorang yang mendapat haji yang mabrur. Orang itu pula tidakpun pergi ke Mekah menunaikan haji. Ini seperti menyokong kenyataan sebelumnya, iaitu daripada 1000 orang hanya seorang yang mendapat haji yang mabrur.

Umar bin al-Khattab pernah menyatakan bahawa ramai yang pergi ke Mekah hanya melancong makan angin sedangkan yang melakukan haji sedikit. Ini bermakna ramai yang mengerjakan haji tetapi sedikit sahaja yang benar-benar melakukan ibadat haji. Di sini hanya disebutkan sedikit. Maksudnya yang sedikit inilah yang mendapat haji yang mabrur. Apa sudah jadi dengan sebahagian besar yang lain.

Ust Dr Zulkifli dalam rancangan Tanyalah Ustaz bertajuk Hikmah dan Falsafah Haji di TV9 30 Oktober 2010 misalnya menyebut, mabrur bermaksud perubahan sikap. Maknanya, haji yang mabrur adalah haji yang dapat mengubah sikap. Jadi haji yang mabrur adalah yang dapat membuat perubahan sikap dari sikapnya yang sedia ada kepada sikap baru yang berkait dengan ibadah haji.

Dalam Kamus Dewan, sikap diberi erti sebagai gaya berdiri (bergerak, berpakaian, dll), atau perbuatan atau pandangan yang berdasarkan sesuatu pendapat (fikiran dll). Manakala gaya pula bermaksud sikap, kesukaan, ketaksukaan dan cara berkelakuan yang menjadi ciri seseorang. Dimasukkan juga kesajakan, keanggunan dan ketrampilan yang menarik perhatian. Dan lagi, cara jalan yang bermaksud kaedah, contoh yang disebut ialah cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu iaitu cara-cara kita memberi pandangan. Kita memberi pandangan boleh dengan bertutur, menulis, melukis, menggunakan gerakbadan dan sebagainya. Perbuatan pula ialah segala yang dibuat, kerja, tindakan. Atau cara kita menggunakan anggota seperti kaki, tangan, mata, mulut dan lain-lain. Setiap pergerakan anggota ini adalah perbuatan kita. Jadi kesemua yang tersebut ini adalah sikap kita.

Bagi Imam al-Munzir, haji yang mabrur ialah haji yang diterima mengikut mafhum hadis berikut;
‘Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat atau dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).’

Hadis ini membayangkan tentang perubahan sikap. Sikapnya sudah berubah menjadi seseorang yang tidak melakukan lagi perbuatan maksiat dan berlaku fasiq.

Kedua-dua takrif mabrur ini memberikan kita satu formula untuk mendapatkan haji yang mabrur. Dan, kedua-duanya juga adalah menggambarkan bahawa ada yang harus dilihat setelah menunaikan haji. Atau maksudnya, setelah menunaikan haji kita akan lihat apakah yang akan berlaku seterusnya. Jadi, setakat sah haji sahaja belum tentu mabrur. Kemabruran ibadah haji kita masih bergantung kepada perilaku dan tindakan seterusnya. Misalnya, jika sikap sudah berubah, tidak lagi melakukan maksiat atau dosa dan tidak berlaku fasiq. Jika ada perubahan ini barulah hajinya mabrur. Bila disebut perubahan, bermaksud sikapnya berubah, dari sikap yang sedia ada kepada sikap baru yang lebih baik. Tanpa perubahan sikap, bererti tidak mendapat mabrur.

Ibadah haji dikatakan sebagai ibadah puncak kerana seruan supaya kita menunaikannya hanya setelah kita menunaikan sembahyang, zakat dan puasa. Seruan menunaikan haji adalah yang terakhir, itupun jika mampu. Jika syahadah dikatakan sebagai ibadah hati, yang diperkuatkan dengan pengucapan dua kalimah syahadah; sembahyang pula adalah ibadah tubuh badan; kemudian zakat adalah ibadah harta. Kesemuanya adalah ibadah yang diperintahkan. Ibadah puasa pula adalah satu-satunya ibadah dalam bentuk larangan. Kerana itu disebut sebagai ibadah larangan. Maka ibadah haji, sebagai ibadah puncak, adalah mencakupi kesemuanya. Jika kita amat-amati, ibadah haji adalah melibatkan hati, tubuh badan, harta dan larangan-larangan.

Kita menunaikan sembahyang bukan setakat untuk memenuhi tuntutan Rukun Islam. Atau, kita tunaikan sembahyang kerana Allah s.w.t. memerintahkan supaya menunaikannya. Ada sebabnya, atau ada tujuan dan matlamatnya di sebalik ibadah ini. Satu ayat dalam al-Quran menyebut,
‘Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut, 45)
Inilah tujuan kita sembahyang. Maksud ayat ini ialah bahawa sembahyang kita biarlah yang dapat mencegah kita dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Ini menunjukkan ibadah sembahyang kita mengandungi iktibar dan pengajaran, antaranya adalah untuk membentuk akhlak dalam diri kita. Kita lihat satu contoh. Misalnya, dalam bab sembahyang, ada hadis yang melarang orang makan bawang putih dari mendekati masjid. Dalam kitab Sabilul-muhtadin pula mencatatkan, makruh sembahyang pada tempat tawaf dan barang sebagainya daripada tempat yang banyak lalu manusia padanya. Ini mengajar kita tentang larangan membuat gangguan terhadap orang lain. Bau bawang putih boleh mengganggu orang lain, iaitu gangguan bau. Sembahyang di laluan seperti di tempat tawaf dan seumpamanya, boleh menyusahkan orang lain. Kedua-duanya ini adalah kemung-karan. Jadi tujuan dan matlamat ibadah sembahyang kita antaranya adalah untuk membina akhlak. Begitu juga halnya dengan ibadah zakat dan puasa. Ada iktibar dan pengajaran di dalamnya. Jadi haji juga demikian. Ada iktibar dan pengajaran yang hendak diterapkan ke dalam diri orang yang menunaikannya. Jadi menunaikan haji bukan setakat kerana ianya adalah Rukun Islam, atau kerana Allah s.w.t. memerintahkan kita menunaikannya, tetapi ada tujuan dan matlamatnya yang harus dicapai.

Jika haji dikatakan sebagai puncak ibadah, maka pengajaran-pengajaran di dalamnya adalah sambungan kepada yang terdapat dalam sembahyang, zakat dan puasa. Ibarat sebuah gunung, pendakian kita bermula dari bawah iaitu sembahyang. Kemudian kita teruskan dengan zakat dan puasa. Dengan ibadah-ibadah ini, banyak iktibar dan pengajaran yang kita perolehi. Dan puncaknya ialah haji. Setelah sampai di kemuncak, maka sepatutnya kita sudah mempunyai akhlak yang sempurna. Inilah yang harus kita sedari.

Ibadah haji kita bermula dengan memakai ikhram. Kemudian pada 9 Zulhijjah kita berwukuf di padang Arafah. Kita mesti berada di sini sehingga menjelang waktu Asar. Sebaik sahaja masuk waktu Asar, kita akan bertolak ke Mina untuk mengerjakan ibadah melontar Jumrah Aqabah. Tetapi dalam perjalanan ke Mina, kita diwajibkan menghadirkan diri di Muzdalifah. Kita mesti berada di sini untuk sekejap sahaja tetapi dalam sela waktu dari selepas tengah malam sehingga menjelang waktu Subuh 10 Zulhijjah. Dalam sela waktu ini kita dikehendaki berada di sini, walau pun sekejap.

Selama beberapa hari di Mina, kita akan mengerjakan ibadah melontar jumrah, iaitu Jumrah Aqabah dan jumrah yang dua. Inilah masanya orang-orang yang mampu akan menjalankan ibadah qurban. Selesai melontar Jumrah Aqabah dan jumrah yang tiga lagi, kita akan bertolak balik ke Mekah untuk tawaf, saie dan bercukur. Maka selesailah haji kita. Setiap peringkat ibadah ini dijalankan secara tertib mengikut urutan.

Setiap peringkat ibadah ini mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Ada semangatnya yang harus difahami dan dihayati. Inilah intipati ibadah haji kita. Untuk mendapat haji yang mabrur semangat inilah yang hendak kita tanamkan dalam diri kita. Dan, dengan semangat inilah kita akan memperoleh sikap baru, seperti yang dimaksudkan oleh Dr. Zulkifli di atas tadi. Tetapi hanya setelah kita hidupkan sekembalinya ke tanahair, barulah kita mendapat haji yang mabrur. Haji kita diterima dan mendapat keredaan Allah s.w.t. seterusnya akan mendapat rahmat Allah s.w.t. Jika tidak haji kita hanya tinggal haji, sebagai menunaikan Rukun Islam kelima sahaja, tetapi tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Haji kita sah tetapi tidak mabrur kerana ibadah haji tidak memberi bekas dalam diri kita.

Jika kita kembali kepada al-Quran itu sendiri, hampir kesemua ayat-ayat yang meyentuh tentang haji adalah dalam bentuk pengajaran. Malah surah al-Hajj itu sendiri pun begitu. Ini menunjuk-kan tentang apa yang Allah s.w.t. inginkan kita mencapainya dengan ibadah haji. Dengan kata lain, inilah matlamat kita menunaikan haji ke Mekah.

Namun, ramai yang beranggapan bahawa haji yang mabrur adalah haji yang dilakukan dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah s.w.t., tidak riaya’ atau menunjuk-nunjuk. Maknanya, dari mula lagi iaitu sejak hati kita terlintas untuk menunaikan haji, kita membuat simpanan di Tabung Haji, dan sampai masanya bertolak ke Mekah adalah kerana Allah. Bukan kerana menunjuk-nunjuk. Selain ikhlas, ialah kerja haji kita adalah dengan biaya yang halal. Cara kita melakukan haji juga mesti mengikut seperti yang diajarkan oleh sunnah dan sahihnya. Sebagai seorang Muslim sejati, wajar meneladani baginda tanpa menokok-tambah atau mengurangi mengikut akal atau meniru-niru perlakuan jemaah haji dari negara-negara lain. Sesetengah pula mengatakan, setelah kita menunaikan haji mestilah melakukan haji badal (haji ganti), iaitu melakukan haji untuk ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikannya. Pendapat ini didasarkan kepada sebuah hadis,
Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang, engkau akan membayarnya? Jawab wanita itu: Ya. Sabda Nabi: Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya).’ (Sahih Bukhari)
Apakah syarat-syarat ini sudah memadai untuk mendapat haji yang mabrur? Kalau setakat ini syarat-syarat mendapat haji yang mabrur, tentulah ramai yang mendapatnya. Kerana hanya segelintir sahaja yang niatnya tidak ikhlas, tidak melakukan haji dengan sempurna seperti yang diajarkan dalam kursus oleh LUTH. Dan bagi orang yang mampu pula, boleh pergi untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, yang bermaksud mereka tentu tidak lupa untuk melakukan haji badal. Bermakna, sebahagian besar daripada mereka yang menunaikan haji memang mampu memenuhi syarat yang baru disebutkan tadi. Inilah anggapan kebanyak orang. Adakah syarat-syarat ini serasi dengan pengajaran-pengajaran yang disebut dalam surah al-Hajj dan ayat-ayat yang lain itu.

Yang menilai mabrur atau tidaknya haji seseorang adalah Allah. Para ulama hanya menunjukkan tanda-tandanya berdasarkan ilmunya. Tanda-tanda ini adalah sebagai pentunjuk ke arah mencapainya. Tanda-tanda ini adalah sebagai ukuran atau standard yang harus dicapai. Jika sudah ada tanda-tanda ini dalam diri seseorang yang telah menunaikan ibadah haji, maka itu tandanya sudah mabrur. Namun segala-galanya akan bergantung kepada keikhlasan. Keikhlasannya ketika menunaikan haji dan keikhlasannya mengubah sikap dan tingkah-laku. Ini yang hanya Allah s.w.t. sahaja yang Maha Mengetahui. Tetapi jika kita tersedar bahawa kita belum mencapainya, maka kita harus taubat, istighfar, memohon keampunan serta hidayah dan inayahNya untuk memperbaiki sikap kita.

Telah disebutkan di atas tadi, mabrur membawa maksud perubahan sikap. Sikap sudah berubah, tidak lagi melakukan maksiat atau dosa dan tidak berlaku fasiq. Di samping itu, selepas menunaikan haji, kita melakukan amalan-amalan yang menepati ajaran-ajaran yang terbit dari ibadah haji kita, selain daripada ajaran-ajaran yang tersebut dalam al-Quran.

Tetapi Hasan al-Bashri mengatakan,
‘Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat.’
Pernah juga disebut kata-kata Ibnu Hajar al-Haitami,
‘Dikatakan bahwa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik, dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis dzikir dan kesedaran.’
Kita lihat, kedua-duanya ini juga membawa maksud perubahan sikap. Zuhud itu adalah ciri-ciri perubahan sikap, sementara mengganti teman-teman yang buruk adalah satu ciri perubahan sikap juga. Pendek kata haji yang mabrur hanya akan diperoleh oleh mereka yang dapat menghidupkan ajaran-ajaran yang berkaitan. Hanya orang yang sudah berubah sikapnya sahaja yang dapat melakukannya.