Pengajaran al-Quran tentang haji

Matlamat haji sudah tercatat dalam al-Quran. Lihatlah surah yang khusus tentang haji, iaitu surah al-Hajj. Di dalamnya tercatat pengajaran-pengajaran dan iktibar yang harus kita mencapainya. Malah banyak lagi ayat-ayat yang berkenaan haji, terdapat dalam sura-surah lain, yang kandungannya juga menyebut tentang pengajaran-pengajaran dari ibadah haji. Maka kita harus faham bahawa inilah yang Allah s.w.t. inginkan kita mencapainya melalui perkemahan haji.
Sebagai bakal haji atau yang sudah lama haji, ini adalah surah yang pertama yang harus kita menelaahnya. Surah ini mengandungi 78 ayat. Sebahagian daripadanya adalah diturunkan di sini untuk kita lihat apakah yang Allah s.w.t. ingin kita capai dengan ibadah haji.
‘Sungguh, orang-orang kafir dan yang menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan dari Masjidilharam yang telah Kami jadikan terbuka untuk semua manusia, baik yang bermukim di sana maupun yang datang dari luar dan siapa sahaja yang bermaksud melakukan kejahatan secara zalim di dalamnya, nescaya akan Kami rasakan kepadanya siksa yang pedih.’ (al-Hajj, 25)

‘Dan (ingatlah), ketika Kami tempatkan Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan), ‘Janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan apa pun dan sucikanlah rumahKu bagi orang-orang yang tawaf, dan orang yang beribadah dan orang yang rukuk dan sujud.’ (al_Hajj, 26)
Inilah antara ayat-ayat yang tersebut dalam surah al-Hajj. Banyak lagi ayat-ayat yang berkaian matlamat haji. Antara pengajaran dari ayat-ayat itu ialah yang menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan dari Masjidilharam (al-Hajj, 25); sucikanlah rumahKu bagi orang-orang yang tawaf, dan orang yang beribadah dan orang yang rukuk dan sujud (al-Hajj, 26); serulah manusia untuk mengerjakan haji (al-Hajj, 27); Maka makanlah sebahagian darinya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir (al-Hajj, 28); dan jauhilah perkataan dusta (al-Hajj, 30); orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki (al-Hajj, 35); maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta (al-Hajj, 36); tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketakwaan kamu; Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik (al-Hajj, 37).
Selain daripada surah al-Hajj, banyak lagi ayat-ayat yang berkenaan ibadah haji boleh dijumpai dalam surah-surah yang lain. Buku Indeks Al-Quran telah mengutip banyak lagi ayat-ayat yang berkaitan dengan ibadah haji dari pelbagai surah dalam al-Quran. Antaranya, al-Baqarah, 158, 189, 196-203; ali-Imran, 96-97; al-Maidah, 1-2, 94-97; at-Taubah, 3;
Jika kita kaji dari ayat-ayat yang diindekskan ini juga menunjukkan kesemuanya mengandungi pengajaran yang harus menjadi amalan bagi orang-orang yang sudah menunaikan haji. Tidak terdapat ayat yang fokus kepada hukum-hakam. Malah sesetengah ayat menyebut dengan jelas pengajarannya, misalnya dalam ayat berikut,
‘Barangsiapa mengerjakan (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berkata jorok (rafas), berbuat maksiat, dan bertengkar dalam (melakukan ibadah) haji.’ (al-Baqarah, 197)
Kita lihat di sini, tiga perkara yang dilarang kita melakukannya ketika menjalankan ibadah haji, iaitu bercakap jorok (lucah), melakukan maksiat dan bertengkar.
‘Kemudian bertolaklah kamu dari tempat orang banyak bertolak (Arafah) dan mohonlah ampunan kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ (al-Baqarah, 199)
Ayat ini diturunkan kepada kaum Quraisy jahiliah. Kaum ini tidak sudi bersama ahli jemaah yang lain untuk pergi berwukuf ke Arafah dengan alasan bahawa Arafah adalah di luar jajahan tanah masjidilharam. Sedangkan mereka adalah penduduk tanah haram itu. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah Allah inginkan kita mempunyai sikap kebersamaan dalam ibadah haji. Dan seterusnya, setelah menunaikan haji, inilah sikap yang harus ada dalam diri kita iaitu hidup sama-sama dengan orang lain dalam satu kelompok masyarakat. Dengan kata lain jangan menyisihkan diri.
Banyak lagi ayat-ayat lain, misalnya ada yang menyeru agar menunaikan janji, melanggar syiar-syiar Allah s.w.t., jangan menhalang orang-orang yang hendak mengunjungi Baitulharam (al-Maidah, 2), ujian terhadap orang yang bertakwa agar jangan melanggar larangan Allah s.w.t. (al-Maidah, 94), dan lain-lain lagi.
Inilah antara ayat-ayat yang menyebut dengan jelas pengajaran yang terkandung di dalamnya. Kesemuanya berkait dengan ibadah haji. Jadi apa yang dibentangkan dalam al-Quran lebih menekankan pada makna dan muqasid ibadah itu sendiri, daripada hukum-hukum fiqh. Dalam al-Quran, penceritaan tentang haji jauh lebih hidup berbanding pendekatan para ahli fiqh. Tetapi tidak bererti penjelasan ahli-ahli fiqh menyeleweng, cuma perhatian mereka lebih fokus kepada hukum-hakam, walaupun tetap berlandaskan al-Quran dan Hadis juga.
Jadi penting bagi kita berinteraksi secara langsung dengan al-Quran, untuk memahami apakah yang sebenarnya Allah inginkan kita capai daripada ibadah haji, secara umum. Dengan merujuk terus kepada al-Quran, paling kurang kita akan rasakan hubungan kita dengan Allah lebih rapat kerana seolah-olah kita berdialog denganNya secara terus menerus, tanp perantaraan pihak lain.
Ayat-ayat al-Quran seperti yang disebut tadi, adalah peringatan kepada kita bahawa ibadah haji kita mestilah mencapai muqasidnya bagi mendapat haji yang mabrur. Jika tidak maka tidak mabrur. Pengajaran-pengajaran dan iktibar dari ayat-ayat itu tadi ialah muqasid ibadah haji kita yang Allah s.w.t. inginkan kita mencapainya. Jadikanlah pengajaran-pengajaran itu sebagai peringatan. Ketika kita menjalankan ibadah haji di Mekah kelak, kita cuba hayati dan terapkan ke dalam diri kita. Semoga ianya sebati dengan diri kita dan kita mampu menjadikannya sebagai pegangan hidup atau sikap kita sekembalinya ke tanahair.
Apa yang harus kita sedari di sini ialah bahawa sah haji sahaja tidak menjamin yang mabrur kecuali setelah mengambil iktibar dan pengajaran sepeti yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut. Muqasid haji itu mesti dicapai kerana itulah yang Allah s.w.t. inginkan.
Ibadah haji adalah proses. Untuk menunaikan haji, maka sepatutnyalah segala ajaran dalam al-Quran (surah ah-Hajj) itu dijadikan matlamat ibadah kita. Jadi, dalam tempoh mengerjakan haji di Mekah, adalah tempoh di mana kita cuba mempraktikkan ajaran-ajaran yang disebutkan tadi. Segala perintahnya kita lakukan dan larangannya pula kita tinggalkan. Sekembalinya kita ke tanahair, kita kekalkan, dan jadikan segala ajaran tersebut sebagai akhlak kita. Segala tindak-tanduk dan perilaku kita kelak mesti berlandaskan kepada ajaran-ajaran itu. Barulah dikatakan ibadah haji kita sudah mengubah sikap kita (mabrur).
Antara pengajaran-pengajaran dari ayat-ayat yang dipetik dari surah al-Hajj ialah:
‘yang menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan dari Masjidilharam’ (al-Hajj, 25).
Menghalangi membawa maksud melarang atau paling kurang menyusahkan. Maka apakah proses untuk membuang sikap ini? Apakah yang boleh kita lakukan ketika mengerjakan haji. Sepanjang tempoh mengerjakan haji itu seharusnya kita lakukan apa sahaja bagi membuang tabiat atau sikap menghalangi atau melarang orang lain yang hendak beribadah di jalan Allah. Paling kurang kita cuba elakkan diri kita dari perkara-perkara yang menyusahkan orang lain ketika di Masjidilharam atau di tempat-tempat lain. Adalah lebih baik jika membantu mereka. Jadi ini merupakan langkah pertama kita mempraktikkan pengajaran ini. Kita memulakan proses mengubah sikap ketika menunaikan haji. Jika kita memahami tujuan ini, insyaAllah kita akan memperoleh sikap baru yang diinginkan Allah s.w.t.
Antara lain lagi pengajaran dalam surah al-Hajj ialah sucikanlah rumahKu bagi orang-orang yang tawaf, dan orang yang beribadah dan orang yang rukuk dan sujud (al-Hajj, 26). Untuk mendapat sikap yang selaras dengan pengajaran ini paling kurang ialah jangan mengotori tempat tawaf dan tempat-tempat orang beribadah. Dengan kata lain ialah menjaga kebersihan tempat-tempat tersebut. Dan, sikap inilah yang mesti dikekalkan sekembalinya ke tanahair.
Kaabah adalah satu daripada syiar Allah s.w.t. Seruan agar kita mensucikan syiar Allah, maka kita harus sedar bahawa banyak lagi syiar Allah yang terdapat di tanahair kita. Jadi seruan mensucikan, membawa juga maksud agar jangan mentotorinya. Mensucikan dan mengotorinya bukan dari segi ain atau kebendaan sahaja, tetapi termasuk juga dari sudut penggunaan tempat-tempat tersebut. Misalnya apakah wajar sekiranya kita bercakap kotor di tempat-tempat yang menjadi syiar Allah! Apakah juga wajar untuk menggunakan masjid atau surau untuk menjadi tempat hiburan dan sebagainya yang bertentangan dengan syariat?
Satu lagi, 'Maka makanlah sebahagian darinya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.' (al-Hajj, 28). Ini adalah seruan untuk qurban. Semangat dari ibadah qurban itu ialah bagi menanamkan sikap kepedulian terhadap orang lain yang miskin dan fakir. Jika kita berkemampuan, lakukanlah qurban. Inilah proses ke arah mendapat sikap kepedulian itu.
‘dan jauhilah perkataan dusta.' (al-Hajj, 30). Ini juga satu lagi sikap yang harus kita capai dari ibadah haji kita. Jangan berdusta. Jadi, ketika kita dalam perkemahan haji, kikislah sikap berdusta jika ada. Jadikanlah ibadah haji kita sebagai langkah permulaan meninggalkan sikap berdusta itu.
‘orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki
(al-Hajj, 35). Apakah yang dapat kita lakukan untuk mendapat sikap sabar? Tentu kita masih ingat lagi bahawa ibadah haji ini Rasulullah s.a.w. aturkan aktiviti-aktiviti yang penuh cabaran dan susah payah. Ini tentunya menimbulkan cubaan kepada kita. Kemungkinan juga ada orang yang cuba menghalangi kita, atau yang mengajak kita untuk melakukan aktiviti lain. Dalam keadaan seperti ini hanya sifat sabar yang dapat mengelakkannya. Dari ayat yang sama juga, kita diajarkan supaya menginfakkan sebahagian rezeki yang kita ada. Jalan untuk mendapat sikap ini ialah dengan bersedekah dengan harta. Tidak dinafikan bahawa hati kita lebih terbuka untuk bersedekah ketika kita berada di Mekah mahupun di Madinah. Tetapi dapatkah kita mengekalkan sikap ini sekembalinaya ke tanahair? Ini bertepatan juga dengan seruan ‘maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta (al-Hajj, 36). Dapatkanlah sikap ini ketika kita berada di tanah suci. Iaitu sikap suka memberi makan kepada orang yang hidupnya pada tahap cukup makan. Di negara kita Malayais, orang-orang yang hidupnya cukup makan sahaja memang ramai. Walaupun hidup mereka pada tahap itu, mereka tidak pula sanggup meminta-minta seperti yang disebut dalam ayat ini. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak cukup makan, sehingga terpaksa meminta-minta. Ini termasuklah mereka yang sedang musafir atau dalam perjalanan.
Ibadah qurban dilihat sebagai menyembelih binatang. Dagingnya kita makan sebahagian sahaja dan selainnya kita berikan kepada mereka yang disebut dalam ayat 36 surah al-Hajj tadi. Antara tujuan lain selain yang disebut di atas tadi ialah untuk mempetingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. seperti yang dinyatakan dengan ayat ini iaitu ‘tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketakwaan kamu; Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik (al-Hajj, 37). Jadi ibadah qurban kita membawa dua tujuan iaitu menanamkan sikap kepedulian kepada orang miskin dan fakir, dan untuk mempertingkatkan ketakwaan kita. Alangkah beruntungnya orang-orang yang berada dan mampu melakukan ibadah qurban dengan menyembelih unta atau kambing! Bagaimana pula halnya dengan kita yang kurang mampu? Yang penting di sini ialah tentang sikap, iaitu sikap kepedulian itu. Sikap ini boleh dicapai bukan hanya dengan wang ringgit, tetapi boleh juga kita capai dengan qurban lain seperti masa dan tenaga kita. Dengan sikap kepedulian kita, banyak amal bakti yang boleh kita lakukan untuk golongan tersebut sekembalinya kita ke tanahair kelak.
Daripada surah-surah lain pula, misalnya, ‘Sesungguhnya Safa dan Marwa merupakan sebahagian syiar (agama) Allah. Maka barangsiapa beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan saie antara keduanya. Dan barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka Allah Maha Mensyukuri, Maha Mengetahui.’ (al-Baqarah, 158)
Mungkin ada yang sedikit kehairanan apakah maksud ayat ini. Misalnya, mengapa disebut tentang dosa bagi orang yang bersaie antara Safa dan Marwa. Saie adalah perlakuan berjalan atau berlari-lari kecil tujuh kali pergi-balik dari bukit Safa ke bukit Marwa. Setiap orang yang mengerjakan haji atau umrah mesti melakukan saie, kerana ini adalah rukun haji dan umrah. Tetapi mengapa disebut tidak berdosa bersaie sedangkan saie adalah rukun?Sebenarnya ayat ini ditujukan kepada sebahagian daripada para sahabat. Ada antara mereka yang keberatan untuk bersaie, kerana tempat itu adalah bekas tempat berhala. Pada zaman jahiliah pun mereka menggunakan tempat itu untuk saie.
Ayat yang sama juga menyebut tentang membuat kebajikan. Allah memberi jaminan, kepada orang-orang yang membuat kebajikan,
‘memberi pahala terhadap amalnya, memaafkan kesalahannya, menambah nikmatnya.’ (al-Quran & Terjemahannya (Rasm Uthmani), 25)
Ayat ini menyeru kita agar membuat kebajikan.
‘(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi. Barangsiapa mengerjakan haji (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berkata jorok (rafas), berbuat maksiat dan bertengkar dalam (melakukan ibadah) haji. Segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya. Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal sehat.’ (al-Baqarah, 197)
Bulan-bulan yang dimaklumi ialah Syawal, Zulka’dah dan Zulhijah. Jorok (rafas) ertinya mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi, perbuatan yang tidak senonoh atau hubungan seksual. Ini yang dicatatkan dalam al-Quran yang disebut di atas ini.
‘Bukanlah suatu dosa bagimu mencari kurnia dari Tuhanmu. Maka apabila kamu bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masyarilharam. Dan berzikirlah kepadaNya sebagaimana Dia telah memberi petunjuk kepadamu, sekalipun sebelumnya kamu benar-benar termasu orang yang tidak tahu.’ (al-Baqarah, 198)
Antara lain lagi ayat-ayat tentang haji ialah seperti dalam surah al-Imran,
‘Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangun untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.’ (al-Imran, 96)
Dicatatkan di kaki nota naskhah Quran yang saya rujuk ini menyebut bahawa Ahli Kitab mengatakan bahawa rumah ibadah yang pertama dibangun berada di Baitulmaqdis, oleh kerana itu Allah membantahnya, dengan menurunkan ayat ini. Ayat berikutnya iaitu ayat 97 juga berkait tentang haji. Dan beberapa ayat lagi boleh dilihat pada surah al-Maidah, 1-2, 94-97 dan surah at-Taubah, 3.
Ibadah haji adalah proses menerapkan pengajaran-pengajaran seperti yang tersebut. Hasil daripada proses ini ialah sikap yang kita perolehi. Jadi inilah matlamat ibadah haji kita. Inilah yang Allah inginkan kita mencapainya. Hanya orang yang berjaya dalam perkemahan ibadah haji sahaja yang akan memperoleh sikap ini. Dan, dengan sikap inilah kita akan menjalani hidup kita seterusnya hingga akhir hayat. Jadi jika dapat mengekalkan sikap ini sepanjang hidup kita, maka kita dikatakan sebagai seorang yang berjaya. Dan, hasilnya adalah seperti yang kita harapkan, iaitu haji yang mabrur.