Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Matlamat Ibadah Haji

Ibadah haji kita mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Ianya bukanlah setakat untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t. semata-mata, tetapi ada matlamatnya yang mesti dicapai. Ada rohnya yang sepatutnya dihidupkan dalam bentuk sikap dan tingkah laku kita seharian. Jika tidak, haji kita mati. Ibadah haji yang sepatutnya mendidik kita menjadi orang yang mempunyai akhlak-akhlak tertentu, tidak kesampaian. Bagaimana pula kita hendak mengharapkan yang mabrur?
Kebanyakan kita menunaikan ibadah haji tetapi tidak berusaha untuk menghidupkan rohnya. Maka apa yang kita lihat ialah sekembalinya dari menunaikan haji, kebanyakannya tidak banyak berubah, kecuali cara kita berpakaian sahaja. Itupun hanya ketara ketika pergi ke masjid atau surau. Semangat hajinya tidak ketara dalam aktiviti sehariannya kerana ibadah yang satu ini kita anggap hanya setakat menunaikan perintah Allah s.w.t. sahaja. Walhal bukan itu tujuan ibadah haji. Ibadah haji kita sepatutnya yang dapat mengubah sikap dan tingkah laku, dalam bentuk yang praktikal dan boleh dilihat.
Apa ertinya kita menunaikan haji jika masih mempunyai tabiat lama. Perangai kita masih perangai lama, sikap kita juga masih sikap lama. Gayanya, cara bergerak, cara berpakaian, tingkah laku dan perbuatan kita, cara kita bercakap dan memberi pandangan masih tidak berubah. Masih tidak merasa janggal mengulangi tabiat-tabiat lamanya walaupun yang mungkar. Di manakah penghayatan kita dari suruhan-suruhan dan larangan-larangan ketika menunaikan ibadah haji tempoh hari? Sepatutnya saranan dan larangan-larangan yang kita patuhi dan elakkan dahulu, kita hayati dan praktikkan ke dalam hidup kita selepas menunaikan haji. Contohnya, ketika dalam ihram, banyak perkara wajib-haram yang kita diminta menjaganya. Yang wajib kita patuhi dan lakukannya, sementara yang ditegah kita elakkannya, jangan melakukannya. Inilah peraturan yang ditetapkan ketika menjalani ibadah haji. Maka kita akur dan patuh dengan larangan ini. Tetapi apakah pelajaran yang kita dapat dari kesemuanya ini. Sepatutnya kita mengambil iktibar dari hukum ini, barulah haji kita hidup. Kesan daripada ibadah haji kita dapat dilihat dalam kehidupan seharian umat Islam. Jika tidak, ibadah haji kita hanya menjadi sebagai ibadah ritual yang tidak memberi makna ke dalam kehidupan. Kesannya, Islam ini dipandang hanya sebagai satu cara hidup di masjid dan majlis-majlis tahlil. Bagaimana pula kita hendak mengharap agar umat yang bukan Islam itu tertarik kepada Islam!
Setiap orang yang pergi menunaikan haji haruslah mempunyai matlamat selain untuk menunaikan Rukun Islam yang ke-lima itu sahaja. Makna dan falsafah di sebaliknya harus kita fahami, dan kita jadikan iktibar ke arah pembentukan akhlak. Dengan akhlak itu kelak yang akan menbentuk tingkah-laku kita. Matlamatnya ialah untuk kita jadikan panduan bagaimana cara kita menjalani hidup seharian ini bersama dengan masyarakat seluruhnya. Misalnya, larangan membuang sampah merata-rata adalah berkait dengan hukum dalam ibadah haji jika kita memahaminya. Ianya berkait dengan larangan-larangan yang dikenakan kepada orang yang sedang berwukuf di Arafah. Malangnya ini tidak diambil peduli. Kita tidak bersedia untuk mengambil iktibar darinya.
Banyak lagi hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah haji kita yang sepatutnya mendidik kita agar mempunyai akhlak terpuji. Islam akan dipandang cantik, sebagai agama yang praktikal dalam kehidupan, bukan agama untuk masjid sahaja. Islam akan dapat menimbulkan minat untuk dituruti oleh kalangan bukan Islam.
Fenomena juga menunjukkan banyak aktiviti kemasyarakat yang tidak disertai oleh umat Islam, baik yang profesional mahupun golongan ulama'. Dalam aktiviti menjaga alam sekitar misalnya, mereka yang bukan Islam lebih ketara penglibatannya. Sebenarnya, ada hukum dalam bab haji yang berkaitannya. Tetapi kerana matlamat ibadah haji kita itu kurang diberi perhatian, maka itulah fenomenanya yang kita lihat.
Apakah kita lupa bahawa kita ini adalah khalifah Allah. Sebagai khalifah kitalah yang sepatutnya mengurus alam ini termasuk alam sekitar? Mengapa harus kita serahkan tugas sebagai khalifah ini kepada mereka yang bukan Islam? Ini sejajar dengan satu ayat, Allah s.w.t. berfirman, Ini sejajar dengan satu ayat, Allah s.w.t. berfirman,
‘Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.' (al-Anbiya’, 107)
Rahmat bermaksud kebaikan dan kemaslahatan dan keharmonian. Jadi apa sahaja yang membawa kepada kebaikan dan keharmonian alam ini, termasuk juga manusia itu sendiri, adalah termasuk dalam bidang tugas manusia sebagai khalifah. Dalam Kolumnis Fikrah 13-15 Mei 2011 menyebut,
'Membawa kemaslahatan (kebaikan) dan kemudahan, dan menolak mafsadah (keburukan) serta masyaqqah (kepayahan), membawa kebaikan dunia dan akhirat kepada manusia dan makhluk lain. (Kolumnis Fikrah 13-15 Mei 2011)
Jelas sekali bahawa antara matlamat ibadah haji kita adalah untuk mendidik diri kita agar mempunyai sikap yang boleh memberi rahmat kepada sekalian alam. Ini menepati dengan maksud ayat 107 surah al-Anbiya. Jadi, menjaga kebajikan alam sekitar adalah tugas dan tanggungjawab orang Islam termasuk para ulama'.
Alam sekitar, meliputi juga manusia itu sendiri. Sebagai khalifah, maka kita juga tidak boleh lari dari tanggungjawab menjaga kebajikan manusia keseluruhannya, sama ada yang Muslim atau bukan Muslim. Jadi, matlamat ibadah haji kita juga sepatutnya yang boleh membentuk sikap suka menjaga kebajikan manusia.
Inilah sikap dan nilai akhlak yang harus ada dalam diri seseorang yang sudah menunaikan haji. Ibadah haji kita sudah mengubah sikap dan tindak-tanduk kita. Perangai dan gaya kita, cara bergerak, cara berpakaian, tingkah laku dan perbuatan kita, cara kita bercakap dan memberi pandangan sudah berubah. Pendek kata, kita dilihat sebagai orang yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Sentiasa membawa kebaikan dan kemudahan, bukan keburukan dan kepayahan kepada manusia dan makhluk lain keseluruhannya. Inilah antara matlamat ibadah haji kita.
Banyak lagi iktibar dan pengajaran yang boleh kita cari dari hukum-hakam bab haji. Cuba lihat firman Allah ini,
'Kemudian bertolaklah kamu dari tempat orang banyak bertolak (Arafah), dan mohonlah keampunan kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ (al-Baqarah, 199)
Tidak dinafikan, ramai yang hanya mengambil iktibar dari sudut Allah Maha Pengampun. Maka di padang Arafah itu diisi dengan aktiviti-aktiviti berdoa memohon keampunan sahaja. Agaknya, mengapa Allah menyeru agar kita bertolak ke Arafah bersama-sama yang lain itu? Buatlah sedikit kajian tentang ayat ini, barulah kita dapat pengajaran daripadanya. Pengajaran itu juga yang sepatutnya membentuk akhlak kita. Jika tidak, maka kita tidak akan dapat mencapai matlamat dari wukuf kita.
Saya rasa beberapa contoh yang saya turunkan di sini sudah memadai untuk tujuan membuka minda kita semua yang selama ini tidak menyedari perkara yang saya sebutkan di atas ini. Untuk mendapat haji yang mabrur, ini adalah antara yang kita harus ambil kira. Ada amalan yang harus kita lakukan setelah menunaikan haji.
Saya tinggalkan satu lagi untuk renungan. Lihat hadis berikut:
‘Barangsiapa yang mengerjakan haji kerana Allah, kemudian dia tidak berkata kotor dan berlaku fasiq, dia akan kembali seperti ketika dia dilahirkan ibunya (tanpa dosa).’ (Hadis Bukhari)