Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Ahad, 9 November 2014

Amalan selepas mengerjakan ibadah haji

Bagi orang yang ke Mekah, menunaikan haji bererti untuk mendapat yang mabrur. Inilah juga antara ucapan-ucapan yang diberikan kepada para bakal haji. Mengapakah kemabruran haji sering menjadi buruan! Satu ayat menyebut, Haji yang mabrur tiada lain balasan baginya melainkan syurga.
Syurga adalah matlamat kehidupan seseorang Muslim. Seseorang Muslim amat yakin selepas kematiannya ia akan dihantar ke suatu tempat yang diberi gelaran alam akhirat, setiap orang mengharapkan tempat yang dipanggil syurga. Lalu bagaimana caranya hendak mendapatkan syurga daripada amalan haji kita? Jawapannya mestilah amalan yang dapat mengekalkan kemabruran haji yang kita perolehi ketika di Mekah dahulu. Ya, tetapi apakah amalan itu?
Pertama, kita harus lakukan amalan yang berkait dengan kedua-dua bidang iaitu bidang hablum minallah dan bidang hamblum minannas. Yang hablum minallah itu adalah yang berkait dengan keetuhanan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji; yang hablum minannas pula adalah yang berkait dengan hubungan sesama manusia. Di sinilah yang sering terjadi kesilapan di mana ramai antara kita hanya mengamalkan bidang hablum minallah sahaja.
Kedua, kita harus ingat bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah sahaja. Kita tidak masuk syurga dengan pahala-pahala yang kita cari dan kumpulkan itu. Untuk mencari rahmat Allah kita harus lakukan amalan-amalan yang berkait dengan hablum minannas; bidang inilah yang banyak membuka peluang ke arah mendapat rahmat Allah. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebutkan hal ini.
Jadi yang hendak disebut di sini ialah bahawa selepas mengerjakan amalan yang hablum minallah harus diikuti pula dengan yang hablum minannas. Misalnya selepas mengerjakan sembahyang, kita lakukan pula aktiviti yang berkaita dengan kesejahteraan sekalian alam; hal ini bukankah disebut oleh ayat 107 surah al-Anbiya'!
Kesejahteraan sekalian alam adalah berkait dengan alam sekitar. Inilah amalan yang jelas kerana telah disebut oleh ayat tersebut. Apakah yang hendak dilakukan?
Ketika mendirikan sembahyang kita sering membaca ayat Arrahmaanirrahim iaitu ayat 3 surah al-Fatihah, yang bermaksud bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dari ayat ini bolehlah kita jadikan satu saluran untuk melakukan amalan yang hablum minannas seperti membantu orang susah jika kita ada lebihan harta, ada lagi harta yang tersimpan di bank dan sebagainya.
Amalan yang paling mudah dan tidak mengeluarkan belanja ialah menjaga alam sekitar iaitu menjaga kebersihan kerana ada satu ayat lain yang menyebut bahawa Allah menyukai kebersihan, jadi lakukanlah apa sahaja yang menjurus kepada kesejahteraan sekalian alam. Yang paling mudah ialah menjaga kebersihan sekitaran tempat tinggal kita, dan yang paling mudah lagi ialah menjauhkan diri dari melakukan sesuatu yang mengotorkannya pula.
Niat kita biarlah kerana Allah, ikhlas. Apakah kerana Allah, dan bagaimana caranya hendak mendapatkan kerana Allah itu? Dalam khutbah Jumaat kita sering didengarkan agar bertakwa, iaitu mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan. Ini dua perkara yang harus kita laksanakan bagi mendapat takwa. Jadi amalan yang hendak kita lakukan harus berdasarkan kepada yang dua ini. Untuk menjaga kebersihan alam sekitar itu tadi niat kita ialah melakukan perintah Allah bukan kerana yang lain-lain. Apakah buktinya Allah atau Rasul-Nya memerintahkan menjaga alam sekitar?
Ayat 107 itu tadi adalah buktinya. Jadi ikhlas atau kerana Allah itu tadi ialah kerana ayat itu tadi. Jadi jika kita melakukan amalan kebersihan hendaklah disandarkan kepada satu-satu ayat, atau hukum yang disebut oleh ayat al-Quran atau hadis Rasulullah saw barulah datang kerana Allah. Jika tidak disandarkan kepada mana-mana hukum atau bukti ayat kita hendak sandarkan kepada apa? Jadi untuk mendapatkan ikhlas kerana Allah kita harus berilmu.
Ini sahaja yang dapat saya catatkan pagi ini. Wallahu aalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan