Gel Amani penawar sakit lutut, sendi, Gaut

Selasa, 22 Disember 2015

Ibadah haji mengajar menyayangi alam sekitar

Ketika berihram kita dilarang membunuh binatang dan merosakkan tumbuhan. Hukum ini mengajar kita erti menyayangi alam sekitar. Haiwan dan tumbuhan adalah ikon kepada alam sekitar, dengan kata lain ianya adalah mewakili sekalian makhluk sama ada yang hidup atau yang tidak hidup.
Inilah antara semangat ibadah haji kita, yang harus diambil perhatian. Justeru apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan menjaga alam sekitar adalah antara caranya untuk mendapat haji yang mabrur. Jika kita memandang remeh perkara ini, lalu tidak mahu menyayanginya, maka janganlah pula merosakkannya atau mencemarinnya. Misalnya biasa kita lihat orang meletakkan kenderaan atas rumput yang jelas ditanam dan dijaga. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan semangat ibadah haji.

Ahad, 31 Mei 2015

Roh ibadah haji vs cara hidup

Apakah perkaitannya antara ibadah haji dan cara hidup kita. Bagi sesiapa yang sudah menunaikan ibadah haji harus menyedari persoalan ini.
Haji adalah salah satu rukun Islam. Rukun bermaksud asas, tiang, tonggak (mengikut pengertian yang disebut oleh Kamus Dewan). Islam adalah cara hidup, atau way of life. Dengan dua takrif ini bermakna rukun Islam itu ialah asas kepada cara hidup yang disebut sebagai way of life itu. Jadi ibadah haji adalah salah satu asas kepada way of life kita.
Apakah way of life yang terbina oleh ibadah haji.
Kenalilah roh ibadah tersebut. Ianya terselindung di sebalik hukum-hakam ibadah itu, sama ada dalam bentuk ayat al-Quran atau hadis. Jika tidak kenal maka sukar untuk mencari perkaitan antara ibadah haji dengan way of life kita.
Misalnya, semasa berikhram kita dilarang bercakap lucah dan fasik. Pengajaran dari larangan ini ialah supaya kita membuang sikap suka berlucah dan fasik itu dari dalam diri kita. Jadi sekembalinya ke tanahair, sebagai seorang yang bergelar Haji seharusnya tidak lagi bercakap lucah dan fasik, Inilah antara roh ibadah haji. Inilah corak hidup kita setelah kembali dari mengerjakan haji.
Ketika berihram pula kita mesti mengenakan pakaian yang seragam, iaitu bagi lelaki hanya dua helai kain yang tidak berjahit. Ini bertujuan bagi mengajar kita erti kesamaan antara sesama manusia. Sebagai makhluk Allah kita diwajibkan meletakkan diri kita sama taraf, sama darjat dengan manusia lain walau dari manapun asalnya. Kita sepatutnya sudah tidak lagi memandang perbezaan diri kita dengan orang lain. Orang kaya tidak memandang rendah kepada orang miskin, orang berpangkat tidak merasa mempunyai kuasa ke atas orang lain, dan sebagainya. Inilah satu lagi sifat diri bagi orang yang bergelar haji. Tidak ada alasan untuk tidak menerima hakikat ini.
Untuk mendapat haji yang mabrur, perkara-perkara seperti ini harus diperhati dengan teliti supaya matlamat ibadah haji itu benar-benar merobah sikap dan keperibadian kita.
Banyak lagi aspek-aspek yang seumpama itu. Untuk mengetahuinya, dapatkan buku KE ARAH HAJI YANG MABRUR, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Ahad, 9 November 2014

Amalan selepas mengerjakan ibadah haji

Bagi orang yang ke Mekah, menunaikan haji bererti untuk mendapat yang mabrur. Inilah juga antara ucapan-ucapan yang diberikan kepada para bakal haji. Mengapakah kemabruran haji sering menjadi buruan! Satu ayat menyebut, Haji yang mabrur tiada lain balasan baginya melainkan syurga.
Syurga adalah matlamat kehidupan seseorang Muslim. Seseorang Muslim amat yakin selepas kematiannya ia akan dihantar ke suatu tempat yang diberi gelaran alam akhirat, setiap orang mengharapkan tempat yang dipanggil syurga. Lalu bagaimana caranya hendak mendapatkan syurga daripada amalan haji kita? Jawapannya mestilah amalan yang dapat mengekalkan kemabruran haji yang kita perolehi ketika di Mekah dahulu. Ya, tetapi apakah amalan itu?
Pertama, kita harus lakukan amalan yang berkait dengan kedua-dua bidang iaitu bidang hablum minallah dan bidang hamblum minannas. Yang hablum minallah itu adalah yang berkait dengan keetuhanan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji; yang hablum minannas pula adalah yang berkait dengan hubungan sesama manusia. Di sinilah yang sering terjadi kesilapan di mana ramai antara kita hanya mengamalkan bidang hablum minallah sahaja.
Kedua, kita harus ingat bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah sahaja. Kita tidak masuk syurga dengan pahala-pahala yang kita cari dan kumpulkan itu. Untuk mencari rahmat Allah kita harus lakukan amalan-amalan yang berkait dengan hablum minannas; bidang inilah yang banyak membuka peluang ke arah mendapat rahmat Allah. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebutkan hal ini.
Jadi yang hendak disebut di sini ialah bahawa selepas mengerjakan amalan yang hablum minallah harus diikuti pula dengan yang hablum minannas. Misalnya selepas mengerjakan sembahyang, kita lakukan pula aktiviti yang berkaita dengan kesejahteraan sekalian alam; hal ini bukankah disebut oleh ayat 107 surah al-Anbiya'!
Kesejahteraan sekalian alam adalah berkait dengan alam sekitar. Inilah amalan yang jelas kerana telah disebut oleh ayat tersebut. Apakah yang hendak dilakukan?
Ketika mendirikan sembahyang kita sering membaca ayat Arrahmaanirrahim iaitu ayat 3 surah al-Fatihah, yang bermaksud bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dari ayat ini bolehlah kita jadikan satu saluran untuk melakukan amalan yang hablum minannas seperti membantu orang susah jika kita ada lebihan harta, ada lagi harta yang tersimpan di bank dan sebagainya.
Amalan yang paling mudah dan tidak mengeluarkan belanja ialah menjaga alam sekitar iaitu menjaga kebersihan kerana ada satu ayat lain yang menyebut bahawa Allah menyukai kebersihan, jadi lakukanlah apa sahaja yang menjurus kepada kesejahteraan sekalian alam. Yang paling mudah ialah menjaga kebersihan sekitaran tempat tinggal kita, dan yang paling mudah lagi ialah menjauhkan diri dari melakukan sesuatu yang mengotorkannya pula.
Niat kita biarlah kerana Allah, ikhlas. Apakah kerana Allah, dan bagaimana caranya hendak mendapatkan kerana Allah itu? Dalam khutbah Jumaat kita sering didengarkan agar bertakwa, iaitu mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan. Ini dua perkara yang harus kita laksanakan bagi mendapat takwa. Jadi amalan yang hendak kita lakukan harus berdasarkan kepada yang dua ini. Untuk menjaga kebersihan alam sekitar itu tadi niat kita ialah melakukan perintah Allah bukan kerana yang lain-lain. Apakah buktinya Allah atau Rasul-Nya memerintahkan menjaga alam sekitar?
Ayat 107 itu tadi adalah buktinya. Jadi ikhlas atau kerana Allah itu tadi ialah kerana ayat itu tadi. Jadi jika kita melakukan amalan kebersihan hendaklah disandarkan kepada satu-satu ayat, atau hukum yang disebut oleh ayat al-Quran atau hadis Rasulullah saw barulah datang kerana Allah. Jika tidak disandarkan kepada mana-mana hukum atau bukti ayat kita hendak sandarkan kepada apa? Jadi untuk mendapatkan ikhlas kerana Allah kita harus berilmu.
Ini sahaja yang dapat saya catatkan pagi ini. Wallahu aalam.

Khamis, 16 Oktober 2014

Menjaga Kemabruran Haji

Assalamualaikum wbt.
Syukur Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadhrat Ilahi kerana Dia masih memberi kita peluang hidup lagi pagi ini, dengan badan yang sihat dan haji yang mabrur.
Apakah yang anda sekalian lakukan pagi ini, adakah ianya berkaitan dengan haji kita. Inilah satu-satunya persoalan yang sering kita terlupa.
Setelah kita rasa mendapat haji yang mabrur, kita lupa bahawa kita harus mengekalkan kemabrurannya, lantas apa yang kita lakukan, apa tindakan yang kita buat dalam aktiviti seharian tidak ada kaitannya dengan ibadah haji; dengan kata lain sikap dan tingkah laku kita tidak lagi yang serasi dengan ibadah haji.
Untuk menjaga kemabruran haji kita harus mempunyai sikap dan tindak tanduk yang serasi dengan semangat ibadah haji: percakapan kita tidak lagi yang rapath dan fusuq, mata hati tidak lagi membeza-bezakan darjat kedudukan manusia sekitaran kita, dan sebagainya.
Dalam usaha mengekalkan kemabruran haji haruslah mencakupi kedua-dua bidang iaitu hablum minallah dan hamblum minannas, dan kedua-duanya kita laksanakan secara wasatiyah, kata Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Yang tidak wasatiyah (seimbang) ialah melebihkan salah satunya. Fenomena menunjukkan kebanyakan para haji dan hajah lebih memberatkan amalan yang hablum minallah - melakukan amal ibadah hanya yang berkait dengan sembahyang dan rangkaian-rangkaiannya sahaja, yang hablum minannas hampir-hampir ditinggalkan sama sekali.
Rasulullah saw mengajar kita erti menyayangi haiwan dan tumbuhan, membela kaum wanita, orang-orang miskin dan sebagainya seperti yang tercatat dalam revolusi baginda, tetapi bidan inilah yang sering ditinggalkan oleh para haji dan hajah. Sebab utamanya ialah kerana tidak mempunyai kesedaran bahawa aspek-aspek kemanusiaan (hablum minannas) ini ada kaitannya dengan ibadah haji.
Apalah ertinya kita mematuhi larangan-larangan seperti jangan mematahkan dahan pokok dan membunuh binatang ketika berwukuf jika tidak dihidupkan semangat ini ke dalam kehidupan seharian kita: bukankah larangan ini mengajar kita erti menjaga alam sekitar! Inilah antara amalan yang harus kita kekalkan sekembalinya kita ke tanahair.
Saya kira sudah memadai satu contoh yang amat jelas amalan yang harus kita lakukan bagi menjaga kemabruran haji kita. Banyak lagi aspek yang harus kita jaga, lihatlah buku-buku tentang revolusi Rasulullah saw. Ini tersebut dalam Buku Ke Arah Haji Yang Mabrur. Jadi saya tidak bermaksud menurunkan contoh-contoh lain di sini.
Buku ini ditulis bagi mengisi kekosongan yang selalu ditinggalkan iaitu aspek-asek hamblum minannas dalam ceramah-ceramah malah dalam kursus haji sekalipun. Dapatkannya dari kedai-kedai buku, atau hubungi terus ke alamat ini.
Buku ini tidaklah ditujukan kepada mereka yang baru kembali dari mengerjakan haji sahaja, tetapi mengajak juga mereka yang telah lama mengerjakan haji mungkin lima atau sepuluh tahun yang lalu bagaimana caranya hendak memabrurkan ibadah haji kita. Inilah antara jalan taubat bagi para haji dan hajah yang merasa dirinya tidak pernah melakukannya perkara-perkara yang berkait dengan bidang hamblum minannas.
Wallahu a'lam.

Isnin, 26 Disember 2011

Buku Ke Arah Haji Yang Mabrur sudah terbit

 Ramai tidak menyedari bahawa ibadah-ibadah kita ada maqasid (matlamat)nya, yang Allah s.w.t. ingin kita mencapainya. Ianya bukan sekadar ibadah ritual sahaja. Jika tidak ibadah kita hanya tinggal ibadah, sebagai melunaskan tuntutan Rukun Islam semata-mata, tetapi tidak mendapat rahmat Allah s.w.t., atau dengan kata lain Allah tidak menerima ibadah kita. Jadi sah haji belum tentu mabrur, kecuali setelah matlamatnya tercapai.

Sudah terbit!
Buku Ke Arah Haji Yang Mabrur setebal 203 muka surat sudah diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd, dengan harga RM20 boleh didapati dari kebanyakan kedai buku, atau hubungi di sini.